Lelaki Khayal Dadah Kurung, Ugut Bunuh Isteri Dan Tiga Anak

Seorang lelaki yang dipercayai berada dalam keadaan khayal akibat pengaruh dadah bertindak mengamuk dan mengurung isterinya bersama tiga anak di dalam rumah dalam kejadian cemas di kawasan perumahan pekerja sebuah ladang di Kalabakan, pada Khamis lalu.

Lebih menakutkan, suspek berusia 39 tahun itu turut mengugut untuk membunuh ahli keluarganya sambil memegang sabit.

'Jangan dekat, kalau tidak aku bunuh anak-anak dan bini aku', demikian ugutan seorang lelaki terbabit.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 8.30 malam apabila suspek bertindak agresif di rumahnya.

“Suspek dipercayai berada dalam keadaan khayal akibat pengaruh dadah telah bertindak mengunci isteri dan tiga anaknya di dalam rumah.

“Suspek juga turut mengugut sesiapa yang cuba masuk dan turut mengeluarkan kata ugutan akan membunuh mereka sambil membaling sabit ke arah individu yang cuba menenangkan keadaan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Polis ambil masa 7 jam pujuk suspek

Susulan kejadian itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau yang diketuai oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Superintenden Zulham Affendi Zulkifli, bersama anggota Balai Polis Kalabakan digerakkan ke lokasi.

Hasil pemeriksaan mendapati rumah berkenaan berada dalam keadaan gelap dan terdapat beberapa senjata berbahaya di dalamnya termasuk parang, sabit serta paip besi.

Polis mengambil masa kira-kira tujuh jam untuk memujuk suspek sebelum bertindak menyerbu masuk bagi menyelamatkan mangsa.

Dalam operasi itu, pasukan polis turut menggunakan Taser Gun bagi melumpuhkan suspek yang masih agresif sebelum berjaya menahannya kira-kira jam 10.30 pagi keesokan harinya.

Senjata dirampas, kes disiasat

Antara barangan yang dirampas termasuk dua bilah sabit, sebilah parang, pemutar skru, besi ‘loading’ serta empat batang paip besi.

Siasatan lanjut juga mendapati suspek mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 342 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Bahan Letupan.

Dalam masa sama, Jasmin menasihatkan orang ramai supaya segera membuat laporan polis sekiranya berdepan situasi ancaman, keganasan rumah tangga atau individu bertindak luar kawalan bagi membolehkan tindakan segera diambil.


Sumber: Sinar Harian, Polis Daerah Tawau

SHARE:

TERKINI

Lima Lelaki Ditahan Bantu Siasatan Kes Dua Sepupu Hilang Di Kota Bharu
|
Polis menahan lima lelaki bagi membantu siasatan berhubung kehilangan…
Wanita Ditahan Jual Beras Seludup Di Pasir Mas
|
Seorang wanita ditahan selepas dipercayai terlibat dalam penjualan beras…
Dua Beradik Ditahan Simpan Dadah Bernilai RM1.76 Juta Dalam Rumah Di Kuala Terengganu
|
Polis menahan dua beradik selepas disyaki menjadikan rumah mereka…
Rempuh Kenderaan PGA, Lelaki Ditahan Bersama Dadah Di Pasir Mas
|
Seorang lelaki berusia 28 tahun ditahan selepas merempuh kenderaan…
UAI Tegur Suami Nikah Senyap-Senyap, Sah Di Sisi Syarak Tapi Tanggung Dosa Berpanjangan
|
Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus (UAI) menjelaskan bahawa perkahwinan…
Untung Bukan Keutamaan, Peniaga Di Kota Bharu Kekal Jual Nasi Lemak RM1
|
Tragedi kebakaran yang memusnahkan rumahnya pada 2021 tidak mematahkan…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!