Isu penggunaan istilah “keno bbodo” yang tular susulan konvoi motosikal ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) terus mencetus perdebatan apabila dua pakar bahasa tampil menjelaskan bahawa maksud sebenar ungkapan tersebut lebih cenderung kepada unsur penghinaan.
Menurut laporan Malaysiakini, seorang pakar bahasa, Prof Emeritus Teo Kok Seong, menegaskan penjelasan dibuat seorang wakil rakyat berhubung maksud istilah itu sebagai tidak tepat, malah beliau bersetuju ia membawa maksud memperbodohkan pihak berkuasa.
Felo Penyelidik Utama Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, dalam bahasa Melayu standard, ungkapan tersebut jelas membawa maksud “diperbodohkan”.
“Kalau ungkapan keno bbodo itu dalam bahasa Melayu standard bermaksud diperbodohkan.
“Saya faham dia kata walaupun polis dan JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) mengadakan tujuh sekatan mereka masih berjaya melepasi semua sekatan itu, jadi (maksudnya) polis dan JPJ diperbodohkan oleh mereka.
“Kalau mereka maksudkan ungkapan itu dengan helah, licik, muslihat itu tak berapa tepat, dari segi tatabahasa tak tepat,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Teo yang juga anak kelahiran Kelantan turut menjelaskan, dalam dialek Kelantan, imbuhan dalam bahasa Melayu standard lazimnya digugurkan, manakala sebutan suku kata tertentu dipanjangkan.
Sebagai contoh, katanya, perkataan “memperbodohkan” apabila disebut dalam dialek Kelantan boleh menjadi “keno bbodo”.
Beliau turut memberi contoh lain seperti penggunaan perkataan “bini” yang bermaksud isteri, namun “bbini” pula bermaksud beristeri.
Dalam masa sama, Pakar Bahasa Melayu Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohd Tarmizi Hasrah turut berpandangan bahawa istilah tersebut boleh ditafsir membawa maksud “diperbodohkan”.
Namun menurut beliau, dari segi konteks ia boleh membawa maksud pihak penutur menganggap dirinya lebih cerdik.
“Berdasarkan video kenyataan itu kita boleh tafsir ‘puak kita cerdik sebab boleh elak roadblock’.
“Bila ‘puak kita cerdik’, maksudnya polis pula tak cerdik,” katanya.
Sebelum ini, tular rakaman video ADUN Melor, Wan Rohimi Wan Daud, yang juga anggota Jawatankuasa PAS Pusat, ketika berucap selepas menyertai konvoi motosikal ke beberapa lokasi termasuk LTSIP.
Dalam ucapannya, beliau mendakwa konvoi itu berjaya melepasi beberapa sekatan jalan raya dengan menggunakan jalan kecil atau “lorong tikus”.
“Kita dilewatkan oleh roadblock polis… ambo bile tak kurang dari tujuh.
“Tapi semua kena bbodo kita belaka,” katanya dalam video tersebut.
Bagaimanapun, selepas menerima kritikan, Wan Rohimi menjelaskan bahawa istilah “keno bbodo” yang disebutnya tidak membawa maksud makian, sebaliknya merujuk kepada helah, licik dan muslihat.
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat memaklumkan bahawa pihak polis membuka kertas siasatan selepas seorang pegawai kanan pasukan keselamatan membuat laporan.
Menurut beliau, individu dalam video didakwa menyatakan berjaya melepasi sekatan jalan raya dengan cara memperdayakan anggota bertugas.
Mohd Yusoff berkata kenyataan tersebut bersifat provokatif dan boleh menjejaskan imej Polis Diraja Malaysia.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.
Dalam perkembangan sama, Wan Rohimi mengesahkan beliau telah dipanggil polis bagi dirakam keterangan berhubung kes tersebut.
BERKAITAN:
“Jangan Kecil Hati, Kita Tak Maki Polis” – ADUN Melor Jelaskan Isu ‘Keno Bbodo’
Polis Kelantan Siasat Video Tular Perlekeh Tugas Anggota Ketika Sekatan Jalan Raya
Timbalan MB Kelantan Tegas Konvoi Ke LTSIP Bukan Anjuran Kerajaan Negeri
ADUN Melor Ajak Anak Muda Konvoi Motosikal Tengok Bangunan “Airport Baru”
Sumber: Malaysiakini
SHARE:
