Yayasan Islam Kelantan (YIK) berjaya melahirkan seramai 5,720 huffaz setakat ini, sekali gus membuktikan kejayaan berterusan sistem pendidikan tahfiz di negeri ini dalam membina generasi al-Quran yang berkualiti.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, pencapaian tersebut menjadi indikator kejayaan Kelantan dalam melahirkan generasi yang menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup serta asas kepimpinan masa depan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Graduasi Tahfiz YIK Kali Ke-16 yang berlangsung di Dewan Besar YIK, hari ini.
Menurut beliau, majlis graduasi itu meraikan seramai 350 pelajar Tingkatan 5 sebagai graduan Khatam Hafazan.
“Pada masa sama, sebanyak 82 graduan turut menerima pengiktirafan Syahadah dan Sanad merangkumi 61 orang bagi Syahadah 10 juzuk, 10 orang (20 juzuk), empat orang (30 juzuk) serta tujuh orang bagi Sanad bacaan,” katanya.
Tambah beliau, secara keseluruhan seramai 432 graduan diraikan pada tahun ini, sekali gus mencerminkan kejayaan besar institusi pendidikan Islam di bawah YIK dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mantap dari segi sahsiah serta pegangan agama.
Wan Roslan turut menegaskan kerajaan negeri sentiasa meletakkan pendidikan Islam sebagai teras utama pembangunan insan dengan memberi penekanan kepada penghayatan al-Quran secara menyeluruh.
“Kita tidak mahu melahirkan generasi yang hanya menghafaz, tetapi generasi yang memahami, menghayati dan menterjemahkan al-Quran dalam setiap aspek kehidupan termasuk dalam membuat keputusan dan memimpin masyarakat,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Anugerah Khas Menteri Besar Kelantan turut disampaikan kepada pelajar yang berjaya menyempurnakan Syahadah 30 juzuk dengan masa bacaan hanya 18 jam tanpa kesalahan sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan luar biasa.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa serta warga pendidik YIK atas sokongan dan komitmen berterusan dalam menjayakan agenda pendidikan tahfiz negeri.
Menurutnya, majlis graduasi itu juga memberi mesej jelas bahawa Kelantan komited untuk terus memperkasa pendidikan al-Quran sebagai agenda utama negeri.
“Cita-cita kita adalah untuk melihat lebih ramai anak Kelantan muncul sebagai hafiz, ilmuwan dan pemimpin umat yang berpaksikan wahyu,” katanya.
Beliau turut berpesan agar para graduan terus memelihara hafazan dengan penuh disiplin serta istiqamah, selain menjadi contoh teladan kepada masyarakat dengan akhlak Islam.
Sumber: inforakyat.kelantan.my
SHARE:
