PGA Ambil Alih Pemantauan Stesen Minyak Di Empat Daerah Sempadan Kelantan-Thailand

Lebih 50 pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) mula ditugaskan di stesen minyak di empat daerah bersempadan Malaysia-Thailand sebagai langkah membanteras ketirisan bahan api ke negara jiran.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, penugasan melibatkan sembilan stesen minyak yang dikenal pasti berisiko tinggi iaitu empat di Tumpat, masing-masing dua di Tanah Merah dan Pasir Mas serta satu di Jeli.

Menurutnya, anggota ditugaskan secara syif dengan dua anggota bagi setiap syif, manakala stesen yang beroperasi 24 jam menempatkan sehingga enam anggota bagi tiga syif.

“Bagi stesen yang beroperasi dalam tempoh tertentu, empat anggota ditugaskan untuk dua syif sehingga operasi tamat,” katanya kepada Bernama.

Ahmad Radzi berkata, anggota yang ditempatkan akan memantau pembelian bahan api serta menjalankan pemeriksaan sekiranya terdapat aktiviti mencurigakan.

Langkah itu diambil bagi mengekang ketirisan bahan api ke negara jiran selain memastikan tiada penyelewengan berlaku di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.

Dalam perkembangan sama, sebanyak 48 stesen minyak dalam lingkungan 25 kilometer dari kawasan sempadan turut dipantau oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Sementara itu, anggota PGA Batalion 8 Pengkalan Chepa turut ditempatkan di stesen minyak berhampiran pintu keluar masuk sempadan di Rantau Panjang bagi memantau kenderaan khususnya kenderaan asing.

Tinjauan Bernama di dua stesen minyak berhampiran pintu sempadan Rantau Panjang, Pasir Mas mendapati kawalan dipertingkat dengan kehadiran anggota PGA yang menjalankan pemantauan secara berterusan sejak semalam.

Anggota bertugas dilihat memeriksa kenderaan yang mengisi minyak termasuk memantau jenis bahan api digunakan serta memastikan tiada pengisian ke dalam tong atau bekas tambahan yang melanggar peraturan.

Penugasan dilakukan secara bergilir-gilir dari jam 6 pagi hingga 10 malam dengan anggota ditempatkan di kawasan pam minyak dan laluan keluar bagi memerhati pergerakan kenderaan secara lebih dekat.

Selain itu, kenderaan asing turut diberi perhatian khusus bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan yang hanya membenarkan pengisian petrol RON97, sekali gus mengelakkan penyalahgunaan bahan api bersubsidi.

Keadaan di stesen minyak didapati terkawal dengan pengguna mematuhi arahan, manakala kehadiran PGA turut memberi kesan pencegahan terhadap sebarang cubaan penyelewengan.

Pada 11 April, polis menempatkan anggota di lebih 80 stesen minyak berhampiran sempadan dengan segera bagi mengekang aktiviti penyeludupan petrol dan diesel susulan krisis tenaga global ketika ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata arahan sudah diberikan kepada Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail bagi tindakan lanjut termasuk mengatur penugasan anggota untuk mengawasi stesen minyak berhampiran sempadan.


Sumber: Sinar Harian, Bernama

SHARE:

TERKINI

Bomba Kelantan Rekod 1,509 Kes Kebakaran Terbuka Sejak Mac, Bachok Tertinggi
|
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan merekodkan peningkatan…
Kelantan Sasar Pasaran China & Singapura, Rangka Promosi Pelancongan Lebih Efektif
|
Kerajaan Negeri Kelantan kini merangka pendekatan promosi pelancongan yang…
Bengkel Kereta Di Jalan Long Yunus Kota Bharu Terbakar, Lima Kenderaan Hangus
|
Sebuah bengkel kereta di Jalan Long Yunus, Kota Bharu…
Pengeluaran Dron Serangan Iran Meningkat 10 Kali Ganda Sejak Perang
|
Kadar pengeluaran dron serangan Iran dilaporkan meningkat sehingga 10…
YIK Lahirkan 5,720 Huffaz, 432 Graduan Tahfiz Dirai Dalam Majlis Graduasi Kali Ke-16
|
Yayasan Islam Kelantan (YIK) berjaya melahirkan seramai 5,720 huffaz…
MB Manfaat Lawatan PM Sabtu Ini, Bincang Pembangunan Perlu Disegerakan
|
Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke…
Jawatan Kosong Kelantan