Penyalahgunaan dadah dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang menyumbang kepada kes gangguan mental di Kelantan, kata Pakar Psikiatri Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Dr Nik Lili Ariantie Ahmad.
Menurut beliau, berdasarkan data hospital itu sepanjang tahun lalu, seramai 543 pesakit yang hadir ke klinik pakar psikiatri didapati mempunyai masalah ketagihan yang disertai gejala gangguan mental.
“Berdasarkan data tahun lalu juga, terdapat 31 kes dirujuk ke klinik ketagihan kerana mempunyai masalah penyalahgunaan dadah serta mengalami gejala gangguan mental. Pesakit ini akan diberi rawatan dan perlu hadir ke klinik secara berkala untuk rawatan susulan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Hampir Separuh Pesakit Wad Psikiatri Ada Masalah Dadah
Dr Nik Lili berkata, bagi pesakit yang dimasukkan ke wad psikiatri pula, dianggarkan hampir separuh daripada jumlah mereka mempunyai masalah penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang.
Katanya, kebanyakan pesakit yang dirawat terdiri daripada golongan dewasa, namun terdapat juga kes membabitkan remaja yang terkesan akibat penyalahgunaan dadah sintetik seperti pil kuda, syabu, epam serta cecair vape dikenali sebagai “mushroom”.
Dadah Sintetik Boleh Cetus Episod Psikotik
Dalam kes tertentu, beliau berkata penyalahgunaan dadah boleh menyebabkan kerosakan fungsi otak, terutama jika ia berlaku pada usia muda atau membabitkan bahan seperti gam yang memberi kesan toksik kepada sistem saraf.
Selain itu, penggunaan dadah sintetik seperti methamphetamine yang menyebabkan individu tidak tidur sehingga empat atau lima hari juga berpotensi mencetuskan episod psikotik termasuk halusinasi dan delusi.
Ketagihan Kekal Walaupun Sudah Dapat Rawatan
Mengulas tanggapan pesakit mental akibat dadah tidak lagi ketagih atau mengingati bahan terbabit, Dr Nik Lili berkata perkara itu tidak semestinya benar.
“Ada pesakit yang masih menggunakan dadah walaupun sudah mendapatkan rawatan. Ketagihan itu sendiri adalah satu penyakit dan apabila mereka gagal berhenti, gejala gangguan mental boleh menjadi semakin teruk.
“Dalam sesetengah keadaan, pesakit tersilap langkah dengan mengambil semula bahan terlarang bagi mengurangkan gejala seperti keresahan atau kemurungan, namun tindakan itu akhirnya memburukkan lagi keadaan kesihatan mental mereka,” katanya.
Pemulihan Bergantung Banyak Faktor
Dr Nik Lili berkata gangguan mental akibat dadah boleh berlaku pada beberapa peringkat termasuk ketika individu masih mengambil bahan tersebut atau semasa fasa penarikan, iaitu proses berhenti daripada penggunaan dadah.
Katanya, tahap pemulihan seseorang pesakit bergantung kepada tempoh pengambilan, jenis dadah serta faktor lain termasuk sokongan keluarga dan rawatan berterusan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar mendapatkan rawatan awal jika mengalami gejala gangguan mental serta tidak memandang ringan kesan penyalahgunaan dadah terhadap kesihatan mental.
Sumber: Harian Metro
SHARE:
