Seorang pempengaruh didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di Kota Bharu pada Selasa selepas mengaku bersalah mencederakan bekas tunangnya bulan lalu.
Majistret Rais Imran Hamid menjatuhkan hukuman itu terhadap Syed Zamri Syed Zainuddin, 20, serta memerintahkan tertuduh dipenjara selama empat bulan jika gagal membayar denda.
Mengaku Bersalah Cederakan Bekas Tunang
Tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Putri Fasha Felisa Mohd Izhan, 19.
Kejadian berlaku di sebuah rumah di belakang Sekolah Raja Bahar, Taman Ehsan, sekitar jam 5.30 petang pada 21 Februari lalu.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku ketika mangsa berada di rumah sewa tertuduh sebelum berlaku pertengkaran.
Situasi kemudian bertukar menjadi pergelutan sehingga menyebabkan mangsa mengalami lebam di lengan kanan dan lengan bawah kanan, seperti disahkan pegawai perubatan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Muhammad Syamsul Ikhmal Ramli.
Tertuduh pula diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nik Nazriani Nik Ab Rahman.
Sebelum ini, keluarga mangsa dilaporkan telah memutuskan pertunangan pasangan terbabit.
Malah, perkahwinan yang dirancang selepas Aidilfitri turut dibatalkan susulan insiden tersebut.
BERKAITAN: Pengasas Kosmetik Dakwa Anak 19 Tahun Dipukul, Dicekik, Ditendang Bekas Tunang
Sumber: Sinar Harian
SHARE:
