Hasrat dua anggota tentera untuk pulang menyambut Aidilfitri di kampung halaman tidak kesampaian apabila mereka maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 70, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat Setiu, hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Muhammad Aminuddin Amran, 21, dan Mohamad Shakiran Saidi, 36, yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Kemalangan Libat Empat Kenderaan
Ketua Polis Daerah Setiu, Mohd Zain Mat Dris berkata pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan itu sekitar jam 12.05 tengah hari.
Menurut beliau, kemalangan berkenaan membabitkan sebuah treler, Honda Civic, Proton Saga dan Perodua Alza.
Dua anggota tentera terbabit difahamkan merupakan rakan setugas di Kem 7, Workshop Briged Tebrau Johor dan ketika kejadian sedang dalam perjalanan pulang bercuti ke Kelantan.
Kereta Hilang Kawalan Sebelum Bertembung
Siasatan awal mendapati kereta Honda Civic serta Proton Saga sedang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menuju ke Kota Bharu, manakala treler pula dari arah bertentangan.
“Kemalangan dipercayai berlaku ketika Muhammad Aminuddin yang memandu Honda Civic hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung secara berdepan dengan sebuah treler,” katanya.
Perlanggaran tersebut menyebabkan treler berkenaan mengelongsor ke laluan bertentangan sebelum bergesel dengan Proton Saga.
Treler Turut Langgar Kereta Diparkir
Treler itu turut melanggar sebuah Perodua Alza yang diparkir dalam garaj berbumbung berhampiran lokasi kejadian.
Menurut Mohd Zain Mat Dris, pemandu serta penumpang Honda Civic meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Setiu untuk proses bedah siasat yang dijangka dilakukan sekitar jam 9 malam.
BERKAITAN: 11 Tahun PJJ, Hasrat Isteri Dan 3 Anak Beraya Sedondon Kali Pertama Tidak Kesampaian
Dua Mangsa Cedera
Dalam kejadian itu, pemandu serta penumpang Proton Saga dilaporkan cedera dan dihantar ke hospital yang sama untuk rawatan.
Sementara itu, pemandu treler dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: Harian Metro
SHARE:
