Mayat seorang lelaki ditemukan terapung di Sungai Kelantan berhampiran Jambatan Tendong di Pasir Mas pada Selasa.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Farid Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 10.33 pagi.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, anggota bomba mendapati mayat lelaki yang dipercayai berusia lingkungan 30-an berada dalam keadaan terapung di sungai berkenaan.
“Setibanya di lokasi, kami mendapati mayat lelaki berusia 30an masih berada dalam keadaan terapung,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi tujuan pengesahan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, seramai enam anggota bomba termasuk seorang pegawai terlibat dalam operasi tersebut.
Sumber: Sinar Harian
SHARE:
