Tarikh melihat anak bulan Syawal bagi menentukan permulaan Hari Raya Aidilfitri ditetapkan pada petang 19 Mac di 29 lokasi di seluruh negara.
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa akan diisytiharkan pada malam yang sama melalui radio dan televisyen.
Menurut kenyataan tersebut, penetapan tarikh melihat anak bulan itu dibuat bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selepas diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.
“Tarikh bagi melihat anak bulan Syawal ialah pada petang Khamis, 19 Mac 2026 Masihi bersamaan 29 Ramadan 1447 Hijrah,” menurut kenyataan itu pada Isnin.
Majlis Raja-Raja turut mempersetujui bahawa kaedah penetapan tarikh Hari Raya Aidilfitri adalah berdasarkan kaedah Rukyah dan Hisab.
Antara lokasi cerapan anak bulan yang dikenal pasti ialah Baitul Hilal Bangunan Sultan Ismail, Pontian (Johor); Kompleks Falak Al-Khawarizmi (Melaka); Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson (Negeri Sembilan) serta beberapa lokasi di Selangor termasuk Bukit Melawati, Kuala Selangor, Bukit Jugra, Banting dan Balai Cerap Selangor di Sabak Bernam.
Di Perak, cerapan akan dilakukan di Balai Hilal Pantai Pasir Panjang, Manjung, manakala di Pulau Pinang di Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh.
Lokasi lain termasuk Stesen Cerapan Hilal Kampung Pulau Sayak dan Menara Alor Setar di Kedah.
Di Terengganu, cerapan akan dijalankan di Bukit Besar, Kuala Terengganu, Bukit Geliga, Kemaman, Pulau Perhentian, Besut serta Balai Cerap KUSZA, Setiu.
Bagi Kelantan, lokasi cerapan ialah di Bukit Peraksi, Pasir Puteh, Bukit Kampung Tembeling, Kuala Krai dan Menara Bangunan SEDC, Kota Bharu.
Sementara itu di Sarawak, lokasi yang terlibat ialah Pusat Falak Miri, Teluk Bandung, Kuching dan Bintulu, manakala di Sabah pula di Balai Cerap Al-Biruni, Putatan.
Bagi Pahang, cerapan akan dilakukan di Bukit Tanjong Batu, Nenasi, Gunung Berincang, Cameron Highlands dan Menara 188, Kuantan.
Empat lagi lokasi ialah Menara Universiti Malaysia Sabah di Kampus Antarabangsa Labuan, Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Menara Pandang Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis.
Sumber: Bernama
SHARE
