Penduduk di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Limau Kasturi 2 di Gua Musang akhirnya dapat menarik nafas lega selepas seekor beruang matahari yang berkeliaran di kawasan kampung berjaya dipindahkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan.
Pengarah Perhilitan Kelantan, Wan Mohd Adib Wan Yusoh berkata, operasi pemindahan itu dijalankan selepas pihaknya menerima maklumat awam pada jam 9 pagi mengenai beruang matahari dewasa yang telah memasuki perangkap dipasang di kawasan tersebut.
Menurutnya, seramai tujuh anggota digerakkan bagi menjalankan operasi berkenaan.
“Pemeriksaan mendapati hidupan liar itu sihat serta tidak agresif. Setelah memastikan keadaan haiwan itu stabil, beruang tersebut dilepaskan di habitat lebih sesuai di kawasan Taman Negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, tindakan translokasi itu dilakukan bagi memastikan keselamatan penduduk setempat terjamin selain memelihara kebajikan hidupan liar tersebut.
Dalam masa sama, Wan Mohd Adib turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menghampiri atau cuba menangkap hidupan liar sekiranya terserempak dengannya.
Sebaliknya, orang ramai diminta segera menyalurkan maklumat kepada Perhilitan untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, seorang penduduk, Mohd Rozaidi Hassan, 34, berkata beruang berkenaan dikesan memasuki perangkap yang dipasang Perhilitan menggunakan umpan minyak masak terpakai berhampiran rumahnya sekitar jam 2.30 pagi.
Katanya, dia berasa sangat lega kerana sebelum ini bimbang dengan keselamatan anak kecilnya, apatah lagi haiwan itu dikatakan membuat sarang di atas pokok manggis di belakang rumah.
Sumber: Bernama
SHARE:
