KOTA BHARU – Seorang peniaga kedai runcit di Kampung Chempaka, Jalan Panji dikesan enggan menjual minyak masak paket bersubsidi dengan alasan tiada stok, namun pemeriksaan pihak berkuasa mendapati sebaliknya.
Dalam operasi Ops Samar yang dijalankan pagi semalam, sepasukan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menemukan sebanyak 68 kilogram (kg) minyak masak paket yang disimpan di stor premis berkenaan.
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail, berkata tindakan itu hasil aduan awam mengenai kedai terbabit yang enggan menjual minyak masak bersubsidi seberat 1kg kepada pelanggan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati peniaga tersebut menyimpan 68kg minyak masak paket di stor meskipun mendakwa stok tiada. Kes disiasat mengikut Seksyen 16A(1)(B) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki enggan menjual barang kawalan tanpa kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan,” katanya.
Menurut beliau, jika sabit kesalahan, peniaga boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta bagi syarikat, manakala individu boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Azman menegaskan KPDN Kelantan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana peniaga yang menyorok atau menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi.
#KelantanDaily
Sumber: KPDN Kelantan
