Seorang warga emas maut selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan sebuah lori dan dua motosikal berhampiran Masjid Ibadur Rahman, Taman Abdullah Fahim, Kepala Batas, pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.24 pagi itu, mangsa, Abdul Mutalib Che Mat, 63, yang menunggang motosikal jenis Honda Dash disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.24 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas tiba enam minit kemudian.
Menurutnya, kemalangan tersebut membabitkan sebuah lori dan dua motosikal.
“Setibanya di lokasi, terdapat seorang mangsa tersepit di bawah lori, manakala dua mangsa lain tidak tersepit.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas kebombaan, manakala anggota Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) memberikan rawatan awal kepada mangsa yang cedera,” katanya dalam satu kenyataan.
Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan kira-kira jam 10.33 pagi sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi.
Seorang lagi penunggang motosikal berusia 61 tahun mengalami kecederaan di bahagian lutut dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut, manakala pemandu lori berusia 59 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi yang melibatkan lapan anggota bersama sebuah jentera FRT dan satu unit EMRS tamat sepenuhnya pada jam 11.38 pagi selepas bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.
Sumber: Sinar Harian
SHARE:
