Seorang penyelia FELDA dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada Isnin daripada 30 pertuduhan mengemukakan tuntutan elaun dan dokumen palsu berjumlah RM2,936.
Keputusan itu dibuat Hakim Dazuki Ali selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Hamiruddin Kasim, 46.
“Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak dan membuat penilaian maksimum terhadap keterangan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
“Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan tanpa dipanggil membela diri,” katanya.
Berdasarkan 15 pertuduhan utama, Hamiruddin yang juga penjawat awam bertugas sebagai Penyelia Rancangan Tanah di Pejabat FELDA Chiku 7 di Gua Musang, didakwa mengemukakan dokumen palsu berkaitan Laporan Bulanan Program Gated Community melalui e-mel kepada dua ejen iaitu pembantu tadbir kanan, Hassan Ibrahim dan Mohd Muazam Shah Ahmad @ Khalid.
Dokumen itu didakwa mengandungi nama Redhuan Abdul Rashid, 46, berkaitan tuntutan elaun Program Gated Community berjumlah RM2,936.
Laporan berkenaan didakwa mempunyai butiran palsu kerana Redhuan tidak hadir bertugas dan tidak layak menerima elaun selepas menarik diri daripada program itu bermula Februari 2016.
Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di Pejabat Rancangan FELDA Chiku 7, Gua Musang antara 6 Mac 2017 hingga 5 Jun 2018.
Berikutan itu, Hamiruddin didakwa mengikut Seksyen 18 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai tuntutan palsu atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.
Bagi baki 15 pertuduhan alternatif, bapa kepada tiga anak itu didakwa secara tidak jujur menggunakan sebagai tulen satu dokumen iaitu Laporan Bulanan Program Gated Community mengandungi tuntutan elaun atas nama Redhuan, dengan mengetahui dokumen itu palsu.
Pertuduhan alternatif itu dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Tengku Nurul Haziqah Tuan Yakob dan Mariah Omar, manakala Hamiruddin diwakili peguam Ahmad 'Adha 'Amir Yasser Amri dan Nur Sarah Syamimi Safie.
Ketika ditemui di luar mahkamah, Hamiruddin meluahkan rasa lega dan bersyukur atas keputusan itu yang diperoleh pada bulan Ramadan.
“Keputusan ini antara detik paling saya dinantikan selepas lebih dua tahun dipulaukan masyarakat dan penduduk kampung,” katanya.
Sumber: Berita Harian
SHARE:
