687 Kuil Tanpa Izin Di Selangor, Bilangan Tinggi Berbanding Populasi Masyarakat Hindu

Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menitahkan agar pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor meneliti setiap permohonan pembinaan rumah ibadat secara adil, telus dan tersusun.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Mohamad Munir Bani, berkata pihak istana tidak mahu sebarang peruntukan undang-undang diketepikan dalam pengurusan isu berkenaan.

Menurutnya, baginda juga mahu aspek pemantauan berterusan dilaksanakan oleh pihak berkuasa supaya pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran di tanah kerajaan atau tanah persendirian dapat dibanteras dan dikawal.

Mohamad Munir berkata, Sultan Sharafuddin sebelum ini disembah maklum oleh kerajaan negeri mengenai kewujudan kuil Hindu yang dibina tanpa kebenaran di Selangor setakat 31 Januari lalu.

Katanya, sebanyak 687 kuil tanpa kebenaran direkodkan di negeri itu, melibatkan 388 di tanah milik kerajaan dan 299 di tanah milik persendirian.

“Jumlah kuil tanpa kebenaran ini adalah tinggi jika dibandingkan dengan populasi masyarakat India beragama Hindu yang melibatkan kira-kira 11.3 peratus di Selangor.

“Jumlah ini juga tidak mengambil kira kuil di seluruh Selangor yang telah didirikan secara sah dan mendapat kebenaran pihak berkuasa negeri,” katanya.

Isu pembinaan kuil tanpa kebenaran itu menjadi tumpuan sejak beberapa hari lalu sehingga mencetuskan perhimpunan di tengah Kuala Lumpur, selain penahanan sekumpulan penunjuk perasaan pada Sabtu lalu.

Seorang pengawal keselamatan yang juga pengerusi sebuah kuil Hindu di Dengkil turut didakwa di Mahkamah Majistret Sepang atas pertuduhan menceroboh.

Mohamad Munir berkata, pendirian kerajaan pusat mengenai pembinaan rumah ibadat adalah selari dengan dasar Selangor yang menekankan kepentingan pematuhan undang-undang.

“Perkara ini juga harus dipatuhi dalam setiap pembinaan dan pembangunan rumah-rumah ibadat khususnya kuil-kuil Hindu agar ia dilaksanakan dengan teratur dari aspek perundangan dan selaras dengan perancangan bandar yang mampan dan terancang,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa Sultan Sharafuddin, selaku ketua agama Islam di Selangor, sentiasa mengambil berat sensitiviti masyarakat berbilang kaum dan agama selaras dengan prinsip toleransi yang menjadi asas keharmonian negeri itu.

“Baginda sentiasa menekankan bahawa setiap rumah ibadat perlu dibina berdasarkan permohonan yang dibuat dan mendapat kelulusan sah daripada PBT serta mengikut segala perundangan dan garis panduan yang telah ditetapkan,” katanya.

Baginda juga menegaskan bahawa pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan atau melibatkan pencerobohan boleh menimbulkan ancaman keselamatan.


“Sultan Selangor menegaskan agar isu pembinaan kuil tanpa kebenaran ini dapat dihentikan dan dimuktamadkan kerana ia menimbulkan keresahan kepada semua pihak sejak sekian lama dan telah menjejaskan keamanan dan keharmonian masyarakat,” katanya.

Sumber: Malaysiakini, Utusan

SHARE:

TERKINI

Mangsa Ditembak Pencuri Lembu Di Ladang Kemahang Dibenar Pulang
|
Mangsa yang parah ditembak dipercayai pencuri lembu dalam kejadian…
Bukan Lagi Untuk Kayangan, HPUSM Tawar IVF Dengan Kos Jauh Lebih Rendah
|
Rawatan persenyawaan in vitro (IVF) kini bukan lagi sesuatu…
PGA Serbu Kilang Kayu Di Kuala Krai, Rampas Kayu Tidak Bercukai Bernilai RM1 Juta
|
Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu sebuah kilang kayu yang…
Cuaca Panas Buatkan Itik ‘Merajuk’ Enggan Bertelur, Hilang Selera Makan
|
Seorang penternak itik telur di Kampung Sering, Kota Bharu…
‘Lebih Melayu Daripada Melayu’, Kisah Hidup Prof Teo Kok Seong, Pakar Bahasa Dari Kelantan
|
‘Lebih Melayu Daripada Melayu’ Nama Profesor Datuk Dr Teo…
[VIDEO] Risau Keselamatan Pelajar, Individu Sukarela ‘Trim’ Pokok Halang Laluan Pejalan Kaki
|
Tindakan seorang individu yang secara sukarela membersihkan laluan pejalan…
Jawatan Kosong Kelantan