Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara berjaya merampas 1,031 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis bernilai hampir RM3.09 juta dalam satu serbuan di sebuah stor berhampiran Kampung Pasir Tumboh, Kota Bharu, baru-baru ini.
Komander Briged Tenggara PGA, SAC Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan menerusi Ops Taring Wawasan itu dijalankan pada jam 12.10 tengah malam, 4 Februari lalu oleh anggota Risik Batalion 7 PGA Kuantan dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Bharu.
Hasil pemeriksaan mendapati semua mercun dan bunga api tersebut disimpan tanpa sebarang dokumen sah, selain turut dirampas sebuah telefon bimbit bernilai kira-kira RM2,000.
Empat lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 24 tahun yang berada di premis berkenaan ditahan bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1952.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati bekalan mercun itu dipercayai diperoleh daripada sebuah syarikat pembekal di Masjid Tanah, Melaka dan dibawa ke stor tersebut secara berperingkat bulan lalu sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri.
Sumber: Bernama
SHARE:
