Terminal baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) kini selangkah lebih dekat untuk dibuka kepada orang ramai selepas berjaya melalui latihan ujian operasi dan kesiapsiagaan dikenali sebagai ORAT (Operational Readiness and Airport Transfer).
Menerusi perkongsian rasmi Malaysia Airports, latihan ORAT itu melibatkan penyertaan sukarelawan yang memainkan peranan sebagai penumpang bagi menguji keseluruhan perjalanan pengguna di terminal baharu berkenaan.
Ujian tersebut merangkumi aspek aliran pergerakan penumpang, kemudahan fasiliti, serta kesiapsiagaan sistem operasi lapangan terbang bagi memastikan semuanya berjalan lancar, selamat dan teratur sebelum pembukaan rasmi.
Malaysia Airports memaklumkan latihan ini penting sebagai simulasi sebenar pengalaman penumpang, sekali gus membantu mengenal pasti sebarang kelemahan teknikal atau operasi sebelum terminal digunakan sepenuhnya.
Latihan ORAT itu turut melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk rakan syarikat penerbangan, Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam yang bersama-sama memastikan tahap koordinasi dan kesiapsiagaan berada pada tahap terbaik.
“Latihan ini memastikan keseluruhan operasi terminal berjalan dengan lancar, selamat dan bersedia sepenuhnya sebelum menerima kehadiran penumpang sebenar,” menurut kenyataan Malaysia Airports.
Dengan kejayaan ujian tersebut, terminal baharu LTSIP kini semakin hampir untuk mula menerima penumpang, sekali gus menjadi fasa penting dalam peningkatan infrastruktur penerbangan di Kelantan.
SHARE:
