UMK Perkukuh Kedudukan Sebagai Pusat Kepakaran REE, Bangunkan Makmal Analisis Emas

Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli terus memperkukuh kedudukannya sebagai pusat kepakaran dalam bidang emas dan unsur nadir bumi (REE) menerusi pembangunan makmal khusus yang menyediakan perkhidmatan analisis ketulenan emas serta kandungan mineral kepada industri perlombongan.

Naib Canselor UMK, Prof Datuk Dr Arham Abdullah berkata, tumpuan terhadap bidang tersebut merupakan antara kepakaran utama yang sedang dibangunkan, khususnya di Jeli, sejajar dengan keperluan semasa industri perlombongan dan dasar pembangunan negeri.

Menurut beliau, UMK masih berdepan cabaran untuk berperanan sepenuhnya sebagai pusat rujukan emas, namun pembangunan makmal emas yang lengkap dilihat sebagai langkah penting ke arah merealisasikan usaha berkenaan.

“Makmal ini membolehkan pengujian ketulenan emas dijalankan selain menyediakan perkhidmatan analisis sampel tanah bagi mengenal pasti kandungan emas.

“Pelombong atau pengusaha perlombongan boleh menghantar sampel emas atau tanah untuk diuji sama ada terdapat kandungan emas dan tahap ketulenannya,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, makmal berkenaan telah mula beroperasi sejak 2022, namun masih terdapat beberapa peralatan yang perlu dilengkapkan, khususnya bagi analisis berkaitan emas.

Mengulas sambutan industri, Arham memaklumkan bahawa UMK telah menerima banyak sampel daripada pelombong di Kelantan, selain Pahang dan Perak.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamed Fadzli Hassan dilaporkan berkata, rakyat Kelantan yang berminat menjadi pendulang boleh membuat permohonan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri serta Pejabat Tanah Jajahan bermula 1 Januari lalu.

Arham berkata, dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, beberapa sampel turut dihantar oleh agensi penguatkuasaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta pihak dari Kedah bagi tujuan pengesahan kandungan REE.

Beliau turut menegaskan bahawa UMK sememangnya mempunyai kepakaran dalam bidang unsur nadir bumi, sekali gus mengukuhkan peranan universiti itu dalam penyelidikan dan analisis REE.

Katanya, dana yang disalurkan kepada UMK menerusi kerjasama dengan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah serta rakan strategik telah membantu meningkatkan keupayaan universiti dalam bidang berkenaan.

“Pemberian dana ini menunjukkan pengiktirafan terhadap UMK sebagai antara titik rujukan teknologi REE di Malaysia,” jelasnya.

Selain itu, UMK juga memperkukuh kolaborasi antarabangsa melalui penubuhan pusat kecemerlangan berkaitan emas dan REE susulan penerimaan dana RM15 juta daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).



Kerjasama berkenaan melibatkan beberapa negara termasuk China, Uzbekistan, Indonesia, Korea Selatan dan Jepun bagi membangunkan teknologi pemprosesan serta pengasingan unsur nadir bumi sebagai antara bidang kepakaran universiti.

Sumber: Bernama

SHARE:

TERKINI

Bomba Kelantan Rekod 1,509 Kes Kebakaran Terbuka Sejak Mac, Bachok Tertinggi
|
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan merekodkan peningkatan…
Kelantan Sasar Pasaran China & Singapura, Rangka Promosi Pelancongan Lebih Efektif
|
Kerajaan Negeri Kelantan kini merangka pendekatan promosi pelancongan yang…
Bengkel Kereta Di Jalan Long Yunus Kota Bharu Terbakar, Lima Kenderaan Hangus
|
Sebuah bengkel kereta di Jalan Long Yunus, Kota Bharu…
Pengeluaran Dron Serangan Iran Meningkat 10 Kali Ganda Sejak Perang
|
Kadar pengeluaran dron serangan Iran dilaporkan meningkat sehingga 10…
YIK Lahirkan 5,720 Huffaz, 432 Graduan Tahfiz Dirai Dalam Majlis Graduasi Kali Ke-16
|
Yayasan Islam Kelantan (YIK) berjaya melahirkan seramai 5,720 huffaz…
MB Manfaat Lawatan PM Sabtu Ini, Bincang Pembangunan Perlu Disegerakan
|
Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke…
Jawatan Kosong Kelantan