Seorang penduduk sempadan di Rantau Panjang, Mohd Zainal Ariffin, 43, mendakwa dikejutkan dengan bunyi letupan kuat sekitar jam 3 pagi yang dipercayai berpunca daripada letupan bom di negara jiran, lapor Berita Harian.
Menurutnya, kediaman yang terletak kira-kira 10 meter dari tebing Sungai Golok menyebabkan bunyi letupan itu kedengaran jelas hingga rumah mereka sekeluarga bergegar.
“Saya terus dapat agak itu bunyi bom dari negara jiran. Rumah memang terasa bergegar dan kami sekeluarga ketakutan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, insiden berkenaan merupakan kali kedua mereka mendengar letupan selepas kejadian serupa dilaporkan berlaku di stesen minyak di negara jiran minggu lalu.
Katanya, kedudukan penempatan yang hanya dipisahkan dengan sebatang sungai menjadikan penduduk berasa tidak selamat, terutama pada waktu malam.
“Saya ada hubungi saudara-mara di sebelah sana dan mereka maklumkan keadaan agak membimbangkan. Buat sementara waktu, kami ambil langkah berjaga-jaga dan tidak ke sana,” katanya.
Menurut laporan Bangkok Post, sebuah treler telah dibom dan dibakar di sebuah gudang di Tambon Pasemat, daerah Sungai Kolok, wilayah Narathiwat, sekitar jam 2.05 pagi Rabu.
Laporan itu menyebut, treler berkenaan musnah sepenuhnya akibat letupan, dengan serpihan kenderaan dan bahan letupan bertaburan di kawasan gudang terbabit. Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kematian dilaporkan setakat ini.
Polis Sungai Kolok dilaporkan telah menutup kawasan kejadian dan pakar bom masih belum membersihkan lokasi bagi tujuan siasatan lanjut.
Bangkok Post turut melaporkan bahawa pada 11 Januari lalu, suspek dipercayai menanam bom dan membakar stesen minyak di wilayah selatan Thailand, dengan lima daripada 11 stesen yang diserang terletak di Narathiwat, juga tanpa sebarang korban dilaporkan.
Sumber: Berita Harian, Bangkok Post
SHARE:
