Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Didakwa Terima Rasuah RM140,000 Lepaskan 56 Warga Bangladesh

Seorang Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas empat pertuduhan menerima suapan berjumlah RM140,000 bagi melepaskan kemasukan 56 warga Bangladesh tanpa mengikut prosedur, pada Mei tahun lalu.

Tertuduh, Mastura Aziz, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan, Mastura didakwa menerima wang rasuah berjumlah RM12,500, RM47,500, RM52,500 dan RM27,500 daripada seorang lelaki warga asing sebagai upah melepaskan kemasukan 56 warga Bangladesh ke Malaysia tanpa mematuhi prosedur yang ditetapkan.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan ketika tertuduh bertugas sebagai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen di Pejabat Imigresen, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.

Kesalahan berkenaan didakwa berlaku di beberapa lokasi sekitar Sepang iaitu Pusat Penjaja Kota Warisan Bandar, sebuah stesen minyak di Persiaran Warisan Maju serta sebuah pusat beli-belah, masing-masing pada 3, 7, 11 dan 15 Mei 2025.

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Irna Julieza Maaras memohon agar tertuduh dikenakan ikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam Datuk Geethan Ram Vincent memaklumkan bahawa anak guamnya sentiasa memberikan kerjasama dan tidak pernah gagal hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia setiap kali dipanggil memberi keterangan.



Mahkamah kemudian membenarkan Mastura diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM sekali sebulan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 25 Februari depan.

Sumber: Sinar Harian

SHARE:

TERKINI

Fenomena Bau Asap Waktu Malam Di Kota Bharu Dan Bachok Cetus Tanda Tanya
|
Sejak beberapa malam kebelakangan ini, penduduk sekitar Kota Bharu…
Mangsa Ditembak Pencuri Lembu Di Ladang Kemahang Dibenar Pulang
|
Mangsa yang parah ditembak dipercayai pencuri lembu dalam kejadian…
Bukan Lagi Untuk Kayangan, HPUSM Tawar IVF Dengan Kos Jauh Lebih Rendah
|
Rawatan persenyawaan in vitro (IVF) kini bukan lagi sesuatu…
PGA Serbu Kilang Kayu Di Kuala Krai, Rampas Kayu Tidak Bercukai Bernilai RM1 Juta
|
Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu sebuah kilang kayu yang…
Cuaca Panas Buatkan Itik ‘Merajuk’ Enggan Bertelur, Hilang Selera Makan
|
Seorang penternak itik telur di Kampung Sering, Kota Bharu…
‘Lebih Melayu Daripada Melayu’, Kisah Hidup Prof Teo Kok Seong, Pakar Bahasa Dari Kelantan
|
‘Lebih Melayu Daripada Melayu’ Nama Profesor Datuk Dr Teo…
Jawatan Kosong Kelantan