Prestasi Kewangan 2025 Kelantan Memberangsangkan, Hasil Cecah RM879.79 Juta

Prestasi kewangan Kelantan terus menunjukkan perkembangan positif apabila pungutan hasil negeri sehingga 28 Disember 2025 mencecah RM879.79 juta, bersamaan 88.22 peratus daripada anggaran hasil tahunan yang ditetapkan.

Menteri Besar Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud, berkata pencapaian tersebut mencerminkan kecekapan pentadbiran kewangan negeri serta komitmen berterusan jentera kerajaan dalam memperkukuh asas hasil negeri secara berhemah dan berintegriti.

Menurut beliau, beberapa strategi utama telah digariskan bagi memperkukuh punca hasil baharu serta meningkatkan keupayaan kewangan negeri.

Antaranya ialah penetapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kutipan tunggakan cukai tanah sekurang-kurangnya 80 peratus, manakala kutipan cukai tanah semasa disasarkan pada kadar 100 peratus.

Beliau menjelaskan bahawa hasil tanah merupakan nadi utama kepada kelangsungan pentadbiran dan pembangunan negeri, justeru ia perlu diurus secara berkesan, tersusun serta berintegriti.

“Kecekapan pengurusan hasil merupakan prasyarat penting kepada kejayaan pembangunan sosioekonomi negeri.

Tanpa pengurusan hasil yang cekap dan beramanah, usaha Kerajaan Negeri untuk menjayakan pembangunan sosioekonomi serta merealisasikan agenda Penghayatan Membangun Bersama Islam tidak akan dapat dilaksanakan dengan sempurna,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pejabat-Pejabat Tanah dan Jajahan yang berjaya mencapai sasaran kutipan hasil tanah bagi tahun 2025.

Menurutnya, sumbangan hasil tanah yang melebihi RM380 juta sehingga Disember 2025 membuktikan komitmen, disiplin serta semangat kebersamaan yang tinggi dalam kalangan warga pentadbiran tanah negeri.

“Pembangunan Sistem e-Tanah yang akan bermula pada tahun 2026 merupakan satu anjakan besar dalam memendekkan tempoh urusan, meningkatkan ketelusan serta menghapuskan kerenah birokrasi.

Pada masa yang sama, inisiatif seperti diskaun denda, kaedah bayaran mudah dan perkhidmatan bergerak membuktikan bahawa kerajaan negeri tidak pernah berniat membebankan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2026 di Kompleks Pentadbiran Kota Darulnaim, pada Khamis.



Sumber: inforakyat.kelantan

TERKINI

Fenomena Bau Asap Waktu Malam Di Kota Bharu Dan Bachok Cetus Tanda Tanya
|
Sejak beberapa malam kebelakangan ini, penduduk sekitar Kota Bharu…
Mangsa Ditembak Pencuri Lembu Di Ladang Kemahang Dibenar Pulang
|
Mangsa yang parah ditembak dipercayai pencuri lembu dalam kejadian…
Bukan Lagi Untuk Kayangan, HPUSM Tawar IVF Dengan Kos Jauh Lebih Rendah
|
Rawatan persenyawaan in vitro (IVF) kini bukan lagi sesuatu…
PGA Serbu Kilang Kayu Di Kuala Krai, Rampas Kayu Tidak Bercukai Bernilai RM1 Juta
|
Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu sebuah kilang kayu yang…
Cuaca Panas Buatkan Itik ‘Merajuk’ Enggan Bertelur, Hilang Selera Makan
|
Seorang penternak itik telur di Kampung Sering, Kota Bharu…
‘Lebih Melayu Daripada Melayu’, Kisah Hidup Prof Teo Kok Seong, Pakar Bahasa Dari Kelantan
|
‘Lebih Melayu Daripada Melayu’ Nama Profesor Datuk Dr Teo…
Jawatan Kosong Kelantan