Pemain sepak takraw negara, Muhammad Syahir Mohd Rosdi terus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa apabila dianugerahkan Certificate of Distinguished International Excellence oleh Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF), sekali gus mengiktiraf beliau sebagai Tekong Terbaik Dunia.
Pengiktirafan berprestij itu diberikan susulan persembahan konsisten dan luar biasa Syahir dalam beberapa kejohanan utama termasuk Piala Dunia 2024, Piala Asia 2025 serta Sukan SEA 2025, yang menyaksikan beliau tampil sebagai tunjang utama kejayaan skuad negara.
Menerusi hantaran Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) di Facebook, ISTAF memuji keunggulan teknikal elit, kecerdasan taktikal, ketahanan mental serta daya saing tinggi yang dimiliki Syahir sehingga mampu mengekalkan prestasi pada tahap tertinggi dalam arena sepak takraw antarabangsa.
Lebih membanggakan, Syahir juga diiktiraf kerana kebolehannya menyaingi pemain elit Thailand — sebuah negara yang sinonim sebagai kuasa besar sukan sepak takraw dunia.
Malah, beberapa media sukan Thailand turut mengakui status beliau sebagai antara tekong terbaik dunia ketika ini.
Menurut ISTAF, anugerah tersebut diberikan bagi menghargai sumbangan cemerlang Syahir terhadap pembangunan sepak takraw antarabangsa, komitmen tinggi beliau terhadap integriti dan kecemerlangan sukan, serta peranan pentingnya dalam mengangkat martabat sepak takraw Malaysia di peringkat global.
Sijil berkenaan ditandatangani oleh Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader dan disifatkan sebagai simbol kecemerlangan, inspirasi serta kebanggaan negara, selain diharap menjadi penanda aras buat generasi atlet sepak takraw akan datang.
Menariknya, di sebalik kejayaan di pentas dunia, Syahir sebenarnya dilahirkan di Pengkalan Chepa, Kelantan, sebelum membesar di Air Itam, Pulau Pinang. Tekong berketinggian 1.9 meter itu kini muncul sebagai antara aset paling bernilai dalam skuad sepak takraw negara.
Sumber: Sinar Harian, Berita Harian
