“Saya reda… saya ikut hasrat arwah untuk dermakan semua organ dan harap ia jadi saham akhirat buatnya.”
Demikian luahan penuh sebak seorang bapa, Mohd Zain Daud, 64, selepas anak lelakinya, Amirrulmukminin, 27, disahkan meninggal dunia akibat mati otak susulan kemalangan motosikal di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2), Kemaman, Terengganu, pada 25 Disember lalu.
Menurut Mohd Zain, kemalangan kira-kira jam 7 pagi itu menyebabkan anak ketujuh daripada lapan beradik berkenaan menerima rawatan di Hospital Kemaman sebelum menghembuskan nafas terakhir pada Jumaat lalu.
Jenazah kemudiannya menjalani pembedahan pendermaan organ pada Sabtu di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati hanya mata, tulang dan buah pinggang Amirrulmukminin sesuai untuk didermakan kerana kecederaan parah dialami dalam kemalangan tersebut.
“Alhamdulillah, pihak hospital memaklumkan buah pinggangnya sudah ada penerima yang sedang menunggu,” katanya ketika ditemui di Perumahan Desa Darulnaim, Pasir Tumbuh.
Menurut beliau, pada awalnya ahli keluarga tidak mengetahui arwah pernah membuat ikrar pendermaan organ, sehinggalah anak keenamnya menemui kad ikrar tersebut dalam dompet Amirrulmukminin.
“Rupanya ketika usia 20 tahun, semasa belajar di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sri Iskandar, dia pernah menyuarakan hasrat itu. Kami sangka sekadar gurauan, tak sangka ia benar,” katanya.
Mohd Zain berkata, keluarga sebulat suara meredai keputusan itu demi menunaikan hasrat arwah.
Beliau turut berkongsi pengalaman menyentuh hati apabila beberapa hari sebelum kejadian, dia seakan-akan melihat arwah berada di rumah.
“Saya tanya bila Amir sampai. Rupanya itu anak bongsu saya. Majikannya juga beritahu, arwah kata dia pulang kali ini untuk menjaga saya,” katanya sebak.
Sementara itu, kakak arwah, Annurfatinah, 31, berkata abangnya yang bekerja sebagai penyelia tapak di Shah Alam beria-ia pulang bercuti dengan motosikal, sedangkan kebiasaannya menaiki kereta atau bas.
Menurutnya, proses pendermaan organ melibatkan persetujuan semua ahli keluarga, selain kehadiran pegawai polis dan majistret bagi memastikan tiada unsur paksaan.
Jenazah Amirrulmukminin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Binjal, Kota Bharu pada jam 9.30 malam, Sabtu lalu.
Terdahulu, tular video berdurasi 1 minit 12 saat memaparkan warga hospital berbaris memberikan penghormatan terakhir kepada arwah, sekali gus mengundang rasa sebak dan doa berterusan daripada warganet.
Sumber: Sinar Harian
