JPN Kelantan Siap Sedia Pindah Calon SPM Jika Banjir Awal

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan bersedia mengambil langkah awal termasuk menempatkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekolah yang kurang berisiko sekiranya banjir berlaku lebih awal tahun ini.

Pengarah JPN Kelantan, Siti Norina Muhamad berkata, keadaan cuaca tidak menentu ketika ini menyebabkan kemungkinan bencana berlaku lebih awal perlu diambil kira.

Menurut Bernama, kejadian banjir kilat di Gua Musang baru-baru ini turut mendapat perhatian pihak JPN Kelantan dalam membuat persediaan menghadapi musim banjir.

“Setiap tahun, kami membuat persediaan awal, terutama membabitkan calon SPM kerana kami tidak mahu mereka berdepan kesukaran untuk hadir menduduki peperiksaan sekiranya kawasan tempat tinggal atau sekolah mereka dilanda banjir.

“Seperti tahun sebelum ini, kami telah menempatkan calon lebih awal di sekolah yang kurang berisiko, antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Falahiah dan SMKA Lati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pentauliahan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda Tahap Perak dan Gangsa Peringkat Negeri Kelantan 2026 di Dewan Wawasan, Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan di Kota Bharu, pada Rabu.

Elak Calon Terkandas Akibat Banjir

Siti Norina berkata langkah penempatan awal itu akan dilaksanakan tahun ini sekiranya diperlukan, khususnya bagi calon yang tinggal atau bersekolah di kawasan berisiko.

Langkah berkenaan bertujuan mengelakkan calon terkandas sekiranya jalan terputus atau dinaiki air ketika peperiksaan berlangsung.

Menurutnya, JPN Kelantan juga sudah mengadakan mesyuarat berkaitan pengurusan bencana dan sentiasa bersedia mengambil tindakan berdasarkan keadaan semasa.

“Kami berada dalam keadaan bersedia untuk bertindak pada bila-bila masa mengikut situasi semasa,” katanya.

JPN Pantau Isu Penyalahgunaan Dadah Dalam Kalangan Pelajar

Dalam perkembangan lain, Siti Norina berkata JPN Kelantan turut memberikan perhatian serius terhadap isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar.

Katanya, JPN Kelantan menyahut seruan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, supaya usaha membanteras gejala berkenaan diperkukuh di sekolah.

Kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di peringkat negeri dan kebangsaan terus dilaksanakan, termasuk mengenal pasti pelajar yang menunjukkan tanda awal penyalahgunaan bahan terlarang.

Perkara itu turut diberi perhatian mengambil kira kedudukan Kelantan sebagai negeri bersempadan.

“Kita tidak boleh memandang ringan perkara ini kerana ia memerlukan penglibatan semua pihak dan bukan hanya diletakkan di bahu sekolah,” katanya.

Sumber: Bernama

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!