Sebanyak 29 Jalan Persekutuan (FT) di sembilan jajahan di Kelantan dikenal pasti memerlukan kerja penyelenggaraan segera susulan kerosakan teruk akibat Monsun Timur Laut (MTL) yang melanda negeri ini.
Pengarah Jabatan Kerja Raya Kelantan, Nik Badlihisham Nik Ismail, berkata kerosakan melibatkan masalah jalan berlubang dan permukaan rosak yang boleh membahayakan pengguna jalan raya.
Sembilan jajahan terlibat ialah Kota Bharu, Machang, Pasir Puteh, Pasir Mas, Tanah Merah, Tumpat, Jeli, Bachok dan Gua Musang.
Menurut beliau, Gua Musang merekodkan jumlah tertinggi dengan tujuh Jalan Persekutuan dikenal pasti memerlukan pembaikan, antaranya: "Gua Musang mempunyai tujuh jalan Persekutuan yang perlu diselenggara iaitu FT484 Jalan Kuala Betis; FT185 Jalan Gua Musang-Lojing; FT1741 Jalan Masuk Sungai Chiku 7 dan 8; FT36 Jalan Chiku-Aring 5; FT1745 Jalan Penempatan Aring 5; FT1742 Jalan Chiku-Aring Felda Jalan Masuk Aring 2 dan 3; dan FT1743 Jalan Dalam LKP Aring 8 dan 9.
"Enam lagi jalan Persekutuan melibatkan Kota Bharu iaitu FT3 Jalan Pasir Puteh-Kota Bharu; FT130 Jalan Wakaf Che Yeh-Salor-Pasir Mas; FT57 Jalan Kota Bharu-Pengkalan Chepa; FT8 Jalan Gua Musang-Kota Bharu; FT223 Jalan Pantai Cahaya Bulan; dan FT207 Jalan Sultan Ismail Petra," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Nik Badlihisham berkata masing-masing empat jalan Persekutuan perlu diselenggara di Jeli iaitu FT4 Jalan Gerik-Jeli; FT66 Jalan Sungai Sam-Jeli; FT202 Jalan Air Canal-Lakota; dan FT204 Jalan Gemang-Kampung Labu, manakala Tanah Merah pula FT199 Jalan Batu Gajah-Lawang; FT259 Jalan Sultan Ismail Petra; FT4 Jalan Machang-Jeli; dan FT129 Flyover Tanah Merah.
"Sementara itu, masing-masing dua jalan Persekutuan di Machang, Tumpat dan Pasir Puteh iaitu FT8 Jalan Gua Musang-Kota Bharu dna FT4 Jalan Machang-Jeli (Machang), FT3 Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu dan FT210 Jalan Pintas Pasir Puteh (Pasir Puteh), FT3 Jalan Kota Bharu-Rantau Panjang dan FT134 Jalam Kota Bharu-Pengkalan Kubor (Tumpat).
"Manakala, FT196 Jalan Panglima Bayu-Rantau Panjang di Pasir Mas dan FT211 Jalan Kubang Kerian-Bachok di Bachok," katanya.
Nik Badlihisham berkata, pihaknya akan merujuk lanjut dengan Kementerian Kerja Raya berhubung pelaksanaan kerja penyelenggaraan termasuk peruntukan kos yang diperlukan bagi membaik pulih jalan-jalan terlibat.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati ketika melalui kawasan jalan rosak serta mematuhi papan tanda amaran yang telah dipasang.
Sumber: Bernama
