Kes penyalahgunaan dadah di Kelantan turun 7.4 peratus tahun ini

Kes penyalahgunaan dadah di Kelantan menunjukkan trend penurunan apabila bilangan penyalah guna dan penagih mencatatkan pengurangan sebanyak 7.4 peratus bagi tahun 2025 berbanding tahun sebelumnya.

Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia Negeri Kelantan yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Zamakhshari Muhamad, berkata statistik yang dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PEMADAM Negeri Kelantan pada Selasa menunjukkan jumlah penagih dadah menurun daripada 15,448 orang pada 2024 kepada 14,320 orang pada 2025, iaitu pengurangan sebanyak 1,128 kes.

Menurut beliau, jumlah kes penyalahgunaan dadah turut mencatatkan penurunan apabila direkodkan 25,091 kes pada 2025 berbanding 25,673 kes pada 2024, melibatkan pengurangan sebanyak 582 kes.

“Dari segi penguatkuasaan, jumlah tangkapan juga menurun daripada 27,402 tangkapan pada 2024 kepada 26,384 tangkapan pada tahun ini, iaitu penurunan sebanyak 1,018 tangkapan,” katanya menerusi media sosial, pada Selasa.

Bagaimanapun, Zamakhshari menegaskan penurunan angka tersebut tidak seharusnya diraikan secara berlebihan, sebaliknya dijadikan petunjuk bahawa usaha berterusan yang dilaksanakan selama ini mula menampakkan hasil.

Tambah beliau, isu dadah tidak boleh diselesaikan semata-mata melalui pendekatan tangkap dan hukum, sebaliknya memerlukan strategi menyeluruh yang menekankan pencegahan awal serta penglibatan masyarakat secara aktif.

Agensi Antidadah Kebangsaan telah melaksanakan ratusan program pencegahan yang melibatkan institusi keluarga, sekolah, tempat kerja dan komuniti setempat. Pendekatan ini penting kerana punca masalah dadah sering bermula daripada persekitaran terdekat dengan kehidupan seharian,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan Negeri Kelantan untuk menjadikan usaha memerangi dadah sebagai satu jihad bersama, namun kejayaan itu tidak akan tercapai tanpa peranan aktif rakyat.

“Apabila masyarakat cakna, berani menegur dan sanggup bekerjasama dengan pihak berkuasa serta agensi berkaitan, di situlah bermulanya perubahan sebenar,” tegasnya.

Tambah beliau lagi, isu dadah bukan sekadar masalah individu, sebaliknya melibatkan keluarga, komuniti dan masa depan negeri, justeru memerlukan sokongan berterusan semua pihak bagi memastikan usaha pencegahan dapat diteruskan secara berkesan.



Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PEMADAM Negeri Kelantan yang mencapai beberapa kesepakatan penting berkaitan pelaksanaan program serta inisiatif baharu demi manfaat rakyat Kelantan secara menyeluruh.

Sumber: Media Point

TERKINI

Polis Nafi Tak Ambil Tindakan Kes Lelaki Dipukul Ramai-Ramai Di Wakaf Bharu
|
Tular di media sosial dakwaan kononnya pihak polis tidak…
Bomba Kelantan Rekod 1,509 Kes Kebakaran Terbuka Sejak Mac, Bachok Tertinggi
|
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan merekodkan peningkatan…
Kelantan Sasar Pasaran China & Singapura, Rangka Promosi Pelancongan Lebih Efektif
|
Kerajaan Negeri Kelantan kini merangka pendekatan promosi pelancongan yang…
Bengkel Kereta Di Jalan Long Yunus Kota Bharu Terbakar, Lima Kenderaan Hangus
|
Sebuah bengkel kereta di Jalan Long Yunus, Kota Bharu…
Pengeluaran Dron Serangan Iran Meningkat 10 Kali Ganda Sejak Perang
|
Kadar pengeluaran dron serangan Iran dilaporkan meningkat sehingga 10…
YIK Lahirkan 5,720 Huffaz, 432 Graduan Tahfiz Dirai Dalam Majlis Graduasi Kali Ke-16
|
Yayasan Islam Kelantan (YIK) berjaya melahirkan seramai 5,720 huffaz…
Jawatan Kosong Kelantan