Ibu sanggup pijak muka, jerut leher anak hanya kerana alat solek

Seorang juruwang wanita dihukum penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen di Seremban hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menganiaya anak perempuan berusia 11 tahun sehingga mendatangkan kecederaan fizikal, Oktober lalu.

Hakim Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman tersebut selepas mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh serta hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh sabitan hari ini selain mengarahkan tertuduh menjalani program khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan selepas dibebaskan.

Selain itu, tertuduh diperintah menyempurnakan bon berkelakuan baik cagaran RM1,000 dengan seorang penjamin, dan jika gagal membayar cagaran, tertuduh boleh dipenjara dua bulan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menganiaya mangsa sehingga mengalami kecederaan di kepala dan lengan kanan di sebuah rumah dekat Lobak, kira-kira jam 5.30 pagi, 29 Oktober lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, mangsa memaklumkan kepada gurunya bahawa dia dipukul oleh ibunya di rumah sebelum dihantar ke sekolah pada hari kejadian.

Difahamkan, mangsa dipukul menggunakan pisau sehingga cedera di belakang cuping telinga, selain ditolak ke lantai dan mukanya dipijak. Mangsa juga dilaporkan dijerut leher menggunakan tali sebelum dilepaskan.

Mangsa dipercayai dipukul selepas tertuduh menuduhnya mengambil alat solek di dalam bilik.

Dalam rayuan mitigasi, peguam Jabatan Bantuan Guaman, Hanis Anisah Jamiludin, memaklumkan tertuduh bekerja sebagai juruwang, mempunyai dua anak dan berpendapatan RM1,000 sebulan, manakala suaminya bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Menurut Hanis Anisah, tertuduh adalah pesakit mental dan bergantung kepada ubat selain mempunyai sejarah cubaan membunuh diri.

“Kejadian itu disebabkan tertuduh gagal mengawal kemarahan terhadap mangsa dan menyesali perbuatannya serta sangat rindukan anak-anak.

“Tempoh pemenjaraan panjang akan memburukkan kesihatan mentalnya dan tiada jaminan kondisi mental tertuduh akan bertambah baik,” katanya.

Beliau turut memaklumkan keluarga tertuduh telah membuat akujanji bagi memastikan tertuduh mengambil ubat serta sentiasa dipantau.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmun memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kedudukan tertuduh sebagai seorang ibu.



“Namun, tertuduh menganiaya mangsa sehingga mendatangkan kecederaan dan memberi kesan emosi jangka panjang,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TERKINI

10 Rakyat Malaysia Dalam Misi Global Sumud Flotilla 2.0 Ditahan Tentera Zionis
|
Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan 10 rakyat Malaysia…
Pelajar Parah Dirempuh SUV Di SMK Tanjong Mas Dibenar Keluar Hospital
|
Pelajar perempuan tingkatan satu yang sebelum ini parah selepas…
Langgar Kereta Polis, Pacuan Empat Roda Ditembak Dua Das Sebelum Pemandu Ditahan
|
Polis melepaskan dua das tembakan ke arah tayar sebuah…
Lelaki OKU Mental Didakwa Bunuh Bapa Di Baung Bayam
|
Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) mental dihadapkan ke…
Fenomena Bau Asap Waktu Malam Di Kota Bharu Dan Bachok Cetus Tanda Tanya
|
Sejak beberapa malam kebelakangan ini, penduduk sekitar Kota Bharu…
Mangsa Ditembak Pencuri Lembu Di Ladang Kemahang Dibenar Pulang
|
Mangsa yang parah ditembak dipercayai pencuri lembu dalam kejadian…
Jawatan Kosong Kelantan