Sebanyak 93 saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal menerusi operasi bersepadu yang dijalankan di sekitar Pengkalan Chepa dan Wakaf Che Zainab di sini, semalam.
Operasi itu menyasarkan penunggang motosikal berusia antara belasan tahun hingga lingkungan 30 an yang didapati melakukan pelbagai kesalahan trafik.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, antara kesalahan utama dikesan termasuk menunggang tanpa lesen memandu.
"Mereka yang disaman berusia antara belasan tahun sehingga 30-an, dan 10 daripadanya tidak mempunyai lesen memandu.
Mereka yang tidak mempunyai lesen memandu ini dikesan dalam kalangan remaja.
Sebanyak 10 motosikal pula dikesan tiada nombor pendaftaran dan selebihnya tidak mengikut peraturan, tiada cukai jalan, ubah suai ekzos dan tidak mempunyai cermin sisi," katanya di sini, hari ini.
Menurut beliau, pemeriksaan mendapati sebahagian besar motosikal yang ditunggang tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan dan berisiko membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.
Sehubungan itu, beliau menasihati semua penunggang motosikal supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat sebelum digunakan.
Sumber: Harian Metro
