Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) hari ini mengeluarkan Amaran Banjir melibatkan dua jajahan Tumpat dan Pasir Puteh susulan paras sungai dijangka meningkat melebihi tahap bahaya bermula Sabtu hingga Ahad.
Menurut kenyataan PRABN, beberapa kawasan rendah serta lokasi berisiko di dua jajahan itu dijangka menerima kesan awal.
Antara kawasan yang berisiko di Tumpat ialah melibatkan Lembangan Sungai Golok (Sungai Golok) dan Lembangan Sungai Kelantan (Sungai Kelantan). Di Pasir Puteh pula, kawasan dijangka terjejas melibatkan Lembangan Sungai Semerak (Sungai Semerak).
PRABN menasihatkan penduduk di kawasan terbabit supaya sentiasa berwaspada, mengikuti arahan daripada agensi pengurusan bencana serta mendapatkan maklumat terkini melalui laman PublicInfoBanjir dan Facebook @PublicInfoBanjir.
Semalam, Jabatan Meteorologi turut memaklumkan bahawa susulan Amaran Hujan Berterusan (Waspada), terdapat kemungkinan banjir berlaku di kawasan rendah terutama dalam lembangan sungai di negeri ini.
Sumber: Berita Harian
