Dua hari jalan kaki sambil menangis cari anak isteri hilang selepas banjir longsor

Kisah seorang ayah ini benar-benar menyentuh hati ramai apabila videonya berjalan seorang diri sambil mencari keluarga yang hilang selepas bencana 'banjir longsor' (banjir beserta tanah runtuh) melanda Sumatera Utara di Indonesia.

Lelaki berkenaan, Ebyn Hutauruk, dilaporkan sanggup berjalan kaki meredah perjalanan berpuluh kilometer dari Sibolga ke Kampung Tukka di Tanahpuli Tengah selepas terputus hubungan dengan isteri dan anaknya yang berada di kampung tersebut ketika bencana dasyat tersebut berlaku.

Orang awam yang terserempak dengannya menyapa untuk bertanya keadaan, namun Ebyn hanya mampu meluahkan rasa sedih yang terbuku. Dengan suara tersekat-sekat, dia berkata sudah dua hari tidak bertemu keluarganya.

“Isteri saya sedang menggendong anak kami, sudah dua hari tidak bertemu,” katanya sambil menangis teresak-esak.

Menurut laporan RCTI, laluan ke kampung berkenaan rosak teruk, menyebabkan kenderaan berat pun tidak boleh masuk.

Cara satu-satunya untuknya mencari keluarga hanyalah dengan berjalan kaki, walaupun jarak perjalanan itu puluhan kilometer.

“Anak dan isteri di mana, saya cuma ingin tahu keadaan mereka, tolong saya,” rayunya dalam video yang tersebar itu.

Taufan Senyar sebelumnya menyebabkan banjir kilat, tanah runtuh, angin kencang dan kerosakan besar antara 19 hingga 28 November di beberapa wilayah seperti Sumatera Utara, Sumatera Barat dan Aceh.

Laporan daripada BNPB menyebut angka korban meningkat kepada 604 orang, manakala 464 lagi masih hilang dan lebih 570,000 terpaksa dipindahkan.

Beberapa rakyat Malaysia yang berada di kawasan terlibat turut dilaporkan hilang.





Sumber: RCTI, Jakarta Globe

TERKINI

Fenomena Bau Asap Waktu Malam Di Kota Bharu Dan Bachok Cetus Tanda Tanya
|
Sejak beberapa malam kebelakangan ini, penduduk sekitar Kota Bharu…
Mangsa Ditembak Pencuri Lembu Di Ladang Kemahang Dibenar Pulang
|
Mangsa yang parah ditembak dipercayai pencuri lembu dalam kejadian…
Bukan Lagi Untuk Kayangan, HPUSM Tawar IVF Dengan Kos Jauh Lebih Rendah
|
Rawatan persenyawaan in vitro (IVF) kini bukan lagi sesuatu…
PGA Serbu Kilang Kayu Di Kuala Krai, Rampas Kayu Tidak Bercukai Bernilai RM1 Juta
|
Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu sebuah kilang kayu yang…
Cuaca Panas Buatkan Itik ‘Merajuk’ Enggan Bertelur, Hilang Selera Makan
|
Seorang penternak itik telur di Kampung Sering, Kota Bharu…
‘Lebih Melayu Daripada Melayu’, Kisah Hidup Prof Teo Kok Seong, Pakar Bahasa Dari Kelantan
|
‘Lebih Melayu Daripada Melayu’ Nama Profesor Datuk Dr Teo…
Jawatan Kosong Kelantan