10 Tahun Lawan Barah Tahap Empat, Pensyarah UMK Akhirnya Genggam PhD
Perjalanan penuh air mata dan semangat kental — itulah yang dilalui oleh Dr Fadhilahanim Aryani Abdullah, 45, apabila akhirnya berjaya menggenggam ijazah doktor falsafah (PhD) selepas 10 tahun berjuang melawan penyakit barah tahap empat.
Pensyarah Universiti Malaysia Kelantan (UMK) itu menerima ijazahnya dalam bidang keusahawanan sempena Istiadat Konvokesyen Ke-15 UMK (Sidang Pertama) yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Bachok, pada Isnin.
Menurut Dr Fadhilahanim, beliau memulakan pengajian PhD di Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP) pada tahun 2015 dan sepatutnya menamatkannya dalam tempoh tiga hingga lima tahun. Namun, segalanya berubah apabila beliau disahkan menghidap kanser payudara pada 2017.
“Pada 2023, penyakit itu merebak ke tulang sehingga saya menjadi penghidap kanser tahap empat.
Saya telah menjalani dua pembedahan utama, 22 kali kemoterapi dan 20 kali radioterapi, selain pelbagai prosedur rawatan lain.
Ini adalah titik perjuangan selama 10 tahun, perasaan saya bercampur baur gembira dan terharu kerana akhirnya menggenggam PhD,” katanya.
Di sebalik kesakitan dan keletihan, beliau tetap meneruskan pengajian dengan sokongan kuat suami tercinta, Aidil Afizie Daud, bekas Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Kelantan.
Tambahnya, kekuatan itu datang daripada keyakinan bahawa setiap ujian adalah jalan menuju syurga.
Kini, ibu kepada tiga anak itu masih menjalani rawatan dan dalam masa sama terus berkhidmat sebagai pensyarah di UMK.
Sumber: Berita Harian
