Kelantan perkenal E-Tuisyen Rakyat Sejahtera untuk calon SPM tahun depan
Kerajaan Kelantan bakal memperkenalkan program E-Tuisyen Rakyat Sejahtera Kelantan, iaitu tuisyen dalam talian secara percuma khusus untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula tahun depan — usaha yang dilihat mampu membantu pelajar luar bandar mendapat akses pembelajaran berkualiti tanpa mengira lokasi.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Datuk Wan Roslan Wan Hamat, berkata program itu merupakan kesinambungan komitmen kerajaan negeri untuk melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang dalam peperiksaan utama tersebut.
Katanya, percubaan awal program berkenaan sudah dijalankan dengan kerjasama Telekom Malaysia (TM) dan disertai seramai 1,896 pelajar.
“Menerusi E-Tuisyen ini, calon akan diberikan panduan format menjawab peperiksaan SPM meliputi semua mata pelajaran.
“Untuk percubaan tahun ini, kerajaan negeri memperuntukkan hampir RM100,000. Tahun depan kita akan kembangkan lagi dengan format pembelajaran lebih baik menggunakan khidmat guru pakar supaya semua calon SPM di Kelantan boleh ikuti tuisyen dalam talian secara percuma,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Nor Asilah Mohamed Zin (PAS–Limbongan) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Menurut Wan Roslan, inisiatif baharu ini diperkenalkan selepas kejayaan Program Tuisyen Rakyat Sejahtera yang dilaksanakan tahun lalu dan terbukti memberi impak positif terhadap keputusan SPM.
Program tersebut memberi tumpuan kepada empat subjek teras dengan penyertaan 1,495 pelajar pada 2024 melibatkan peruntukan RM477,000.
Hasilnya, keputusan SPM di Kelantan meningkat kepada 95.99% pada tahun 2024, berbanding 95.08% pada 2023.
“Kita juga bercadang untuk meluaskan lagi inisiatif tuisyen ini kepada calon STPM, STAM dan peperiksaan lain pada masa depan bagi memastikan pelajar di Kelantan mendapat akses pembelajaran tambahan yang berkualiti,” jelasnya.
Sumber: Bernama
