Kelantan tegas pertahan hak REE, enggan ulangi sejarah petroleum

KOTA BHARU – Kerajaan Negeri Kelantan menegaskan pendirian untuk mempertahankan kedaulatan dan hak negeri terhadap sumber Unsur Nadir Bumi Tidak Radioaktif (NREE) yang terletak sepenuhnya di daratan negeri itu.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan, berkata kenyataan itu dibuat susulan perjanjian dagang Malaysia–Amerika Syarikat yang ditandatangani semasa lawatan Presiden Donald Trump ke Kuala Lumpur pada 26 Oktober lalu.

Beliau berkata, perjanjian tersebut menimbulkan persoalan besar terhadap masa depan sektor mineral kritikal negara, khususnya REE, yang mempunyai nilai strategik dan ekonomi tinggi kepada negeri-negeri pengeluar seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“Kelantan memiliki deposit NREE kedua terbesar di Malaysia selepas Terengganu, dengan nilai mencecah ratusan bilion ringgit. Ia sumber di daratan yang dijamin haknya di bawah Perlembagaan Persekutuan — hak mutlak negeri dan rakyat Kelantan,” katanya.

Menurutnya, berbeza dengan petroleum yang berada di dasar laut dan tertakluk kepada peraturan tiga batu nautika, REE tidak termasuk dalam kategori tersebut.

“Hak terhadap hasil bumi itu tidak boleh dinafikan kepada kerajaan negeri.

Dalam kes petroleum, kita telah kehilangan royalti walaupun perjanjian jelas. Kita tidak akan membenarkan REE menjadi ‘petroleum kedua’. Negeri ini tidak boleh lagi sekadar menjadi penonton kepada kekayaan sendiri,” tegasnya.

Dato’ Dr. Fadzli berkata, kerajaan negeri menyambut baik pelaburan luar, namun menegaskan pelabur mesti menghormati hak serta kedaulatan negeri.

Beliau turut menolak sebarang bentuk pelombongan yang hanya mengeksport bahan mentah ke luar negara tanpa pemprosesan dalam negeri.

“Dasar kita jelas. REE mesti diproses semaksimum mungkin di Kelantan supaya nilai tambahnya kekal di sini. Ini akan membuka peluang pekerjaan dan latihan kemahiran tinggi untuk anak muda kita,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan negeri kini sedang menilai kaedah kerjasama terbaik dengan pelabur yang adil bagi menjamin keuntungan maksimum untuk rakyat.

Mengulas perjanjian Malaysia–Amerika Syarikat yang menetapkan tiada sekatan eksport terhadap REE ke Amerika, beliau menyifatkan perkara itu sebagai isu kedaulatan ekonomi yang perlu diperjelaskan segera oleh kerajaan Persekutuan.

“Perjanjian bernilai berbilion ringgit yang menyentuh hasil bumi negeri tidak sepatutnya dibuat tanpa pandangan kerajaan negeri. Ini menyimpang daripada semangat federalisme dan menafikan hak negeri yang dijamin dalam Perlembagaan,” katanya.

Beliau menyeru kerajaan Persekutuan membentangkan isi penuh perjanjian Malaysia–Amerika Syarikat di Parlimen serta Majlis Tanah Negara bagi memastikan ketelusan dan semangat kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan dipertahankan.



“Pelaburan mesti disertai rasa hormat kepada kedaulatan negeri, bukan menyerahkan hak kepada orang lain atas nama diplomasi. Kami akan mempertahankan hak ini dengan tegas dan berprinsip,” katanya.

#KelantanDaily
Sumber: Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan

TERKINI

Fenomena Bau Asap Waktu Malam Di Kota Bharu Dan Bachok Cetus Tanda Tanya
|
Sejak beberapa malam kebelakangan ini, penduduk sekitar Kota Bharu…
Mangsa Ditembak Pencuri Lembu Di Ladang Kemahang Dibenar Pulang
|
Mangsa yang parah ditembak dipercayai pencuri lembu dalam kejadian…
Bukan Lagi Untuk Kayangan, HPUSM Tawar IVF Dengan Kos Jauh Lebih Rendah
|
Rawatan persenyawaan in vitro (IVF) kini bukan lagi sesuatu…
PGA Serbu Kilang Kayu Di Kuala Krai, Rampas Kayu Tidak Bercukai Bernilai RM1 Juta
|
Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu sebuah kilang kayu yang…
Cuaca Panas Buatkan Itik ‘Merajuk’ Enggan Bertelur, Hilang Selera Makan
|
Seorang penternak itik telur di Kampung Sering, Kota Bharu…
‘Lebih Melayu Daripada Melayu’, Kisah Hidup Prof Teo Kok Seong, Pakar Bahasa Dari Kelantan
|
‘Lebih Melayu Daripada Melayu’ Nama Profesor Datuk Dr Teo…
Jawatan Kosong Kelantan