JERTEH – Seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ antara lapan individu ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian pergaduhan yang tular menerusi rakaman siaran langsung di media sosial semalam.
Ketua Polis Daerah Besut, Supt Azamuddin Ahmad, berkata kesemua lelaki berusia antara 21 hingga 40 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut.
Beliau berkata, mangsa berusia 36 tahun yang membuat laporan polis berhubung kejadian itu turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Kita menerima laporan pada 1.32 pagi berhubung kejadian dipercayai berlaku kira-kira 11 malam di hadapan sebuah rumah di Jerteh.
Berdasarkan laporan diterima, seorang lelaki mendakwa dipukul sekumpulan individu ketika sedang membuat siaran langsung (live) menggunakan telefon bimbit di hadapan rumah suspek.
“Semasa kejadian, mangsa dikatakan datang ke rumah suspek untuk berbincang mengenai salah faham antara mereka.
Sebaik tiba di hadapan rumah suspek, mangsa enggan masuk ke kawasan rumah seperti diminta, menyebabkan berlaku pertengkaran dan kekecohan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Azamuddin, beberapa ahli keluarga suspek turut keluar dari rumah dan berlaku pergelutan antara mereka.
Beliau berkata, dalam kejadian itu telefon bimbit yang digunakan mangsa untuk membuat siaran langsung turut diambil oleh seorang daripada ahli keluarga suspek.
“Mangsa mengalami kecederaan termasuk lebam di belakang kepala, siku kanan dan kiri, jari kiri serta bahagian belakang badan akibat bergelut dan terjatuh,” katanya.
Beliau menambah, kenderaan milik mangsa turut mengalami kerosakan.
Azamuddin berkata, semua suspek dibawa ke Mahkamah Kuala Terengganu pagi ini untuk permohonan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 147 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan khianat.
Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Mohamad Effie Ezral Mohd Izham di talian 09-6956222 sambungan 5913.
Semalam, tular video dipercayai dirakam oleh mangsa dan isterinya bersama anak mereka yang berada di dalam kereta sebelum kejadian pergaduhan berlaku.
Antara individu terlibat dalam insiden itu dipercayai ahli perniagaan yang terbabit dalam urusan jual beli tanah.
Dalam perkembangan lain, mangsa yang dikenali sebagai Che Wan Al Lakazam menyatakan bahawa beliau telah menerima 2 jahitan di kepala, dan beberapa kesan pukulan dengan objek keras pada bahagian belakang dalam insiden berkenaan.
Mangsa turut meluahkan kekecewaan kerana tidak menyangka akan diserang ketika anak dan isteri beliau ada ditempat kejadian.
#KelantanDaily
Sumber: Bernama
