KOTA BHARU – Keluarga kepada insan istimewa Muhammad Zul Apiz Baharum, 37, atau lebih dikenali sebagai Mat Tere, meminta orang ramai agar tidak mengambil kesempatan terhadap lelaki tersebut yang merupakan orang kurang upaya (OKU).
Permintaan itu dibuat selepas tular video terbaharu Mat Tere menunjukkan kemaluannya selepas diminta oleh seorang wanita dalam siaran langsung di TikTok.
Sebelum ini, pada 2017, lelaki dari Ketereh itu pernah ditahan selepas didakwa menghina Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, melalui penyebaran video di media sosial.
Ahli keluarganya, Yuslizam Ahmad, berkata individu tertentu dilihat cuba mengambil kesempatan sehingga menyebabkan Mat Tere sanggup melakukan perbuatan tidak senonoh itu.
“Kita sedia maklum dia seorang OKU. Sepatutnya individu berkenaan tidak mempergunakannya.
Orang di Kelantan semua sudah mengenali Mat Tere macam mana,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Menurutnya lagi, Mat Tere sudah lama tidak pulang ke kampung dan difahamkan berada di beberapa lokasi berbeza di sekitar negeri ini.
Beliau berkata, keluarga dimaklumkan bahawa Mat Tere telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada Khamis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung perkara tersebut.
“Kes diklasifikasikan sebagai RLA (Rujuk Lain Agensi),” katanya.
#KelantanDaily
Sumber: Sinar Harian
