KOTA BHARU – Polis Kelantan berharap kerajaan mempertimbangkan peruntukan bagi pembinaan radar kawalan laut dan tembok keselamatan di sempadan negeri dalam Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini, bagi memperkukuh kawalan keselamatan maritim.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata keluasan perairan Kelantan menjadi cabaran besar kepada pasukan penguat kuasa, terutama dalam mengekang aktiviti penyeludupan yang kerap berlaku di laut.
“Sudah tentu kami di sempadan ini memerlukan aset tambahan seperti bot dan kenderaan peronda, namun ia juga perlu disertai dengan penambahan anggota.
Selain itu, kami juga perlukan dron bagi membantu rondaan sementara menunggu pembinaan tembok sempadan,” katanya kepada Bernama di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, baru-baru ini.
Beliau menjelaskan bahawa antara keperluan paling mendesak kini ialah pemasangan radar kawalan laut, kerana Kelantan masih belum mempunyai sistem seumpamanya seperti di pantai barat Semenanjung.
“Tanpa radar, sukar untuk kami mengawal pergerakan bot antara Thailand dan Malaysia kerana kawasan laut sangat luas, mencecah ratusan batu nautika.
Penyeludupan di laut sebenarnya lebih banyak daripada di darat. Mereka menggunakan bot nelayan dan kapal kecil untuk memindahkan minyak serta barangan lain di tengah laut,” katanya.
Menurutnya, aset sedia ada seperti bot rondaan polis bersaiz kecil hanya mampu beroperasi di kawasan pesisir sejauh 20 batu nautika, berbanding bot penyeludup jenis C2 yang boleh mencapai sehingga 100 batu nautika.
“Terdapat banyak laluan masuk melalui laut dari Genting hingga ke Pulau Tengkorak, Tumpat. Rondaan konvensional menggunakan bot amat memenatkan dan menelan kos minyak yang tinggi.
Sebab itu radar pengawasan sangat penting di sempadan, jika dipasang di Pulau Tengkorak, kami boleh memantau pergerakan bot laju dan mengenal pasti jenis bot serta aktiviti mereka,” katanya.
Mengulas mengenai pembinaan tembok keselamatan di sempadan Kelantan–Thailand, Mohd Yusoff berkata pihaknya masih menunggu maklum balas rasmi daripada kerajaan, namun difahamkan perkara itu sedang dalam perhatian.
“Saya berharap pembinaan tembok atau pagar keselamatan serta radar pengawasan dapat dimasukkan dalam Belanjawan 2026 kerana ia mampu membantu membendung isu jenayah rentas sempadan dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau sebelum ini dilaporkan menyatakan bahawa pembinaan tembok kekal di sepanjang sempadan sepanjang 45 kilometer itu merupakan penyelesaian paling berkesan dalam membanteras kegiatan penyeludupan di negeri berkenaan.
Belanjawan 2026 dijadual dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, di Parlimen pada Jumaat ini.
#KelantanDaily
Sumber: Bernama
