Perjalanan sebuah keluarga dari Tumpat, Kelantan menuju ke Kuala Lumpur berakhir tragedi apabila kereta dinaiki tiga beranak terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung di Kilometer 17, Jalan Lipis–Merapoh berhampiran Kampung Selendang, pada malam Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.50 malam itu, seorang wanita warga emas berusia 66 tahun yang duduk di tempat penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, siasatan awal mendapati kereta berkenaan dipandu anak perempuan mangsa berusia 29 tahun, manakala seorang lagi anak lelakinya berusia 31 tahun berada di tempat duduk belakang.
"Kesemua mangsa dalam perjalanan dari Tumpat, Kelantan menuju ke Kuala Lumpur.
"Apabila tiba di tempat kejadian, pemandu dipercayai hilang kawalan menyebabkan kereta berkenaan terbabas ke sebelah kiri jalan lalu melanggar sebatang tiang elektrik sebelum terjatuh ke dalam gaung," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Anak Patah Pinggul, Pemandu Cedera Ringan
Menurut Ismail, kemalangan itu turut menyebabkan anak lelaki mangsa yang berada di tempat duduk belakang mengalami kecederaan patah pinggul.
Pemandu kereta pula hanya mengalami kecederaan ringan.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Dalam pada itu, polis meminta orang ramai atau saksi yang melihat kejadian supaya tampil membantu siasatan.
Ismail turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu dengan berhati-hati dan berhemah serta memastikan kenderaan diselenggara dengan baik bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Sumber: Sinar Harian
