Polis sudah mengenal pasti individu yang dipercayai menjadi dalang utama sindiket penyeludupan dadah yang menggunakan aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), namun suspek berjaya meloloskan diri ketika operasi tangkapan dilakukan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, usaha mengesan dan memburu individu terbabit sedang giat dijalankan pihak berkuasa.
"Kita dah kenal pasti dalang utama tetapi apabila tangkapan dibuat, dia bolos. Bagaimanapun, dia dalam radar pengesanan polis.
"Dia mungkin melupakan jerat, tetapi jerat tidak pernah melupakan pelanduk. Itu sahaja yang boleh saya sebut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Jelajah Wira Madani dan Santuni Madani Jabatan Imigresen Malaysia di Masjid Al-Hasaniah, Kampung Rambong Pulai, Kupang, pada Sabtu.
18 Individu Sudah Ditahan
Sebelum ini, media melaporkan jumlah individu yang ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan meningkat kepada 18 orang, termasuk lapan pegawai serta anggota TUDM.
Tangkapan terbaharu membabitkan seorang lagi pegawai TUDM bersama empat orang awam.
Penahanan itu dilakukan hasil risikan berterusan dan soal siasat terhadap 13 suspek yang ditahan sebelum ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tangkapan susulan berkenaan bertujuan mengenal pasti dalang utama serta individu lain yang dipercayai terbabit dalam kegiatan tersebut.
Polis Siasat Kemungkinan Kaitannya Dengan Segitiga Emas
Dalam perkembangan sama, Saifuddin tidak menolak kemungkinan sindiket berkenaan mempunyai kaitan dengan rangkaian pengedaran dadah di Segitiga Emas.
Katanya, sebahagian besar bekalan dadah yang memasuki negara ini dipercayai berasal dari kawasan berkenaan.
Menurutnya, hasil siasatan turut membolehkan polis mengenal pasti peranan setiap individu dalam rangkaian sindiket, termasuk pembiaya kewangan, perancang utama, pengangkut, penghantar, pemberi maklumat dan penyelaras kegiatan.
Bagaimanapun, siasatan masih diperluaskan bagi mengesan beberapa lagi individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan penyeludupan dadah itu.
"Bekalan dadah ke negara kita sebahagian besarnya memang masuk daripada Segitiga Emas.
"Bagaimanapun, biarlah bahagian narkotik menyelesaikan tugasan mereka kerana mereka sedang meluaskan jaringan untuk mengesan beberapa lagi pemain yang terbabit," katanya.
Sumber: Sinar Harian
