Dua pesara tentera mengaku tidak bersalah di tiga Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada Jumaat atas enam pertuduhan menipu dan memalsukan dokumen pesanan kerajaan berkaitan tawaran kontrak serta tender Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Kes berkenaan membabitkan projek mengecat 85 kenderaan berperisai serta pembekalan pelbagai peralatan dengan jumlah wang yang diserahkan mangsa mencecah RM1.28 juta.
Kedua-dua tertuduh ialah Mejar (B) Rosle Mat Isa, 54, dan bekas pegawai waran, Muhammad Syazwan Steve Abdullah, 45.
Mereka membuat pengakuan tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Muhammad Ilmami Ahmad, Rosli Ahmad dan Azrul Darus.
Didakwa tipu tawaran projek mengecat kenderaan berperisai
Di hadapan Muhammad Ilmami, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama menipu Pak Chee Hwa, 59, dengan mempercayai tawaran projek mengecat 85 kenderaan berperisai melalui pesanan kerajaan bernilai RM400,000 adalah tulen.
Tawaran itu didakwa palsu sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM200,000 kepada Muhammad Syazwan Steve sebagai modal projek berkenaan.
Mereka turut didakwa bersama-sama memalsukan dokumen pesanan kerajaan bagi projek sama untuk digunakan dalam urusan tawaran berkenaan.
Dakwaan membabitkan wang RM780,000
Di hadapan Rosli pula, kedua-duanya didakwa menipu Bahari Tahir, 78, berhubung tawaran kontrak MINDEF membabitkan pembekalan cat untuk 85 kenderaan berperisai, peralatan dewan dan peralatan khemah.
Tawaran yang didakwa palsu itu mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM780,000 kepada kedua-dua tertuduh.
Mereka turut berdepan pertuduhan bersama-sama memalsukan dokumen pesanan kerajaan berkaitan tawaran kontrak berkenaan.
Tender Kem Perdana Sungai Besi babitkan RM300,000
Sementara itu, di hadapan Azrul, kedua-dua tertuduh didakwa menipu Borhan Mohd Doya, 55, berhubung tawaran tender MINDEF bagi pembekalan peralatan dan kerja-kerja persiapan majlis di Kem Perdana Sungai Besi.
Tawaran melalui pesanan kerajaan bernilai keseluruhan RM565,050 itu didakwa palsu sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM300,000 kepada Rosle menerusi dua transaksi sebagai modal tender.
Kedua-duanya turut didakwa memalsukan dokumen pesanan kerajaan berkaitan tawaran sama.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Kuartermaster Marks Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, pada April 2019 dan 22 Ogos 2019.
Mahkamah tetapkan jaminan RM100,000 setiap seorang
Pertuduhan menipu dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau sebatan dan denda.
Manakala kesalahan memalsukan dokumen bagi tujuan menipu di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM60,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dengan mengambil kira jumlah kerugian yang besar.
Peguam Lee Soo Bang daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili Muhammad Syazwan Steve memohon supaya jumlah jaminan dikurangkan.
Beliau memaklumkan anak guamnya bekerja sebagai peniaga dengan pendapatan RM2,000 sebulan selain menanggung isteri dan empat anak berusia antara 11 hingga 19 tahun serta menjaga ibunya yang menghidap diabetes dan darah tinggi.
Rosle pula yang tidak diwakili peguam memohon jaminan lebih rendah kerana tidak bekerja, mempunyai enam anak dan seorang isteri yang menghidap diabetes serta kanser payudara.
"Saya mempunyai dua anak Orang Kurang Upaya (OKU) autistik serta dua anak yang masih belajar di universiti. Saya juga tidak melarikan diri kerana sentiasa memberikan kerjasama," katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM100,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.
Mereka turut diarahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah, manakala 18 Disember ditetapkan sebagai tarikh sebutan kes.
Sumber: Bernama
