Seorang usahawan, Dr Asran Alias memohon pandangan dan nasihat orang ramai selepas mendakwa tidak mempunyai kemampuan untuk membayar saman berjumlah RM1 juta susulan kritikan terbuka terhadap syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).
Menerusi satu hantaran di Facebook pada Rabu, beliau memaklumkan tidak mempunyai wang sebanyak itu untuk menyelesaikan tuntutan berkenaan.
Malah, beliau turut meminta bantuan orang ramai bagi mencari jalan untuk berdepan situasi tersebut.
"Ada tak sesiapa boleh bantu saya untuk selesaikan saman ini. Saya sedia patuh segala tuntutan daripada AKSB, tetapi tidak ada kemampuan untuk bayar RM1 juta," tulisnya.
Akui Fokus Kepada Perniagaan Dan Kesihatan
Dalam hantaran sama, Dr Asran berkata keutamaan beliau ketika ini adalah untuk memberi tumpuan kepada perniagaan serta kesihatan.
Beliau turut menulis kenyataan bernada sindiran mengenai perkhidmatan AKSB dalam hantaran tersebut.
"Mulai hari ini, saya akui AKSB adalah syarikat perkhidmatan air terbaik di dunia, air paling bersih, sistem aduan paling canggih," katanya.
Hantaran berkenaan mendapat perhatian pengguna media sosial apabila menerima lebih 2,000 tanda suka dan 800 komen, selain dikongsi lebih 400 kali.
