NGO Disaran Rujuk MPKB-BRI Sebelum Bersihkan Atau Hias Hentian Bas

Kerajaan Kelantan menyarankan badan bukan kerajaan (NGO) supaya merujuk pihak berkuasa tempatan (PBT) terlebih dahulu sebelum menjalankan aktiviti sosial dan kemasyarakatan di kawasan awam.

Saranan itu termasuk aktiviti membersih atau menghias kemudahan awam seperti hentian bas bagi mengelakkan salah faham antara pihak sukarelawan dengan PBT.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, isu membabitkan sebuah hentian bas yang dibersihkan dan dicat oleh kumpulan sukarelawan sebelum dirobohkan berlaku disebabkan kemungkinan wujud salah faham.

Menurutnya, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) sebenarnya sudah mempunyai perancangan serta peruntukan untuk membaiki hentian bas berkenaan.

"MPKB-BRI bukan sahaja mendapat peruntukan daripada kerajaan negeri, malah daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Jadi di sini mungkin ada sedikit salah faham.

"Jadi saya rasa dalam hal itu, untuk mengelakkan daripada berlaku salah faham, mana-mana pihak NGO boleh merujuk dan bekerjasama dengan MPKB-BRI," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Kilang Memproses Minyak Liquid Palm Edible Oils Sdn Bhd (LPEO) di sini.

NGO diminta semak perancangan PBT terlebih dahulu

Mengulas lanjut, Mohamed Fadzli berkata, NGO yang berhasrat melakukan kerja pembersihan di hentian bas boleh mendapatkan maklumat daripada MPKB-BRI terlebih dahulu.

Katanya, langkah itu penting supaya aktiviti yang dilakukan tidak bertindih dengan perancangan sedia ada pihak berkuasa.

"Ini kerana kita tidak mahu berlaku (salah faham) sebegini. Tempat itu nak dirobohkan, tiba-tiba ada NGO (Hiyaz Community) datang bersihkan.

"Apabila dirobohkan, jadilah sebegitu (salah faham). Jadi saya rasa isu sebegitu boleh kita elakkan sekiranya ada persefahaman antara pihak NGO dengan pihak berautoriti," katanya.

Hampir 50 hentian bas bakal dinaik taraf

Terdahulu, kumpulan sukarelawan Hiyaz Community meluahkan rasa kesal apabila hentian bas yang dibersihkan dan dicat semula sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh didakwa dirobohkan.

Susulan isu itu, MPKB-BRI menerusi satu kenyataan di Facebook memaklumkan projek naik taraf dan baik pulih hampir 50 hentian bas di bandar ini dijangka siap bulan depan.

Projek berkenaan menggunakan peruntukan termasuk daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan Kelantan, Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman serta Pengarah Urusan Kumpulan iKHASAS, Ir Tan Chee Kian.

Sumber: Berita Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!