Zahid Padam Hantaran, Turkiye Nafi Setuju Terima 10,000 Pelarian Rohingya

Turkiye secara terbuka menafikan persetujuan untuk menerima 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia seperti yang diumumkan kerajaan sebelum ini.

Menerusi kenyataan di platform X malam tadi, Pusat Memerangi Disinformasi (DMM), Direktorat Komunikasi Turkiye menyifatkan laporan mengenai rancangan penempatan semula berkenaan sebagai tidak berasas.

“Dakwaan dalam beberapa media berita dan penyiaran antarabangsa serta akaun media sosial yang menyatakan 10,000 Rohingya akan ditempatkan semula di Turkiye tidak berasas.

“Orang ramai diseru supaya tidak mempercayai kandungan yang tidak benar,” kata DMM.

Kenyataan Zahid dipadam daripada media sosial

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat lalu memaklumkan Malaysia dan Turkiye bersetuju menempatkan semula 10,000 pelarian Rohingya di negara berkenaan menerusi program latihan kemahiran berstruktur.

Menurut Zahid, cadangan itu susulan lawatan kerja rasminya ke Turkiye.

Program berkenaan dikatakan akan berlangsung selama tiga hingga enam bulan dengan tumpuan kepada kemahiran yang bersesuaian dengan keperluan industri di negara itu.

Bagaimanapun, kenyataan tersebut dipadam daripada akaun media sosial Zahid kira-kira sejam selepas dimuat naik tanpa sebarang penjelasan.

Perkembangan itu mencetuskan persoalan mengenai status sebenar persetujuan antara kedua-dua negara, termasuk sama ada kerajaan Turkiye benar-benar bersetuju menerima pelarian Rohingya dari Malaysia.

Pejabat Zahid kata usaha masih diteruskan

Lewat malam tadi, Setiausaha Akhbar Zahid, Shuhaimi Mohamed menjelaskan bahawa rancangan berkenaan masih dalam usaha untuk direalisasikan.

“Kenyataan terdahulu dikeluarkan kerana kami sememangnya sedang mengusahakan inisiatif ini, yang pada akhirnya demi kepentingan terbaik negara dan rakyat kita.

“Bagaimanapun, beberapa perkara masih memerlukan penjelasan lanjut dan penyelarasan dengan pihak berkaitan.

“Kami kekal komited untuk meneruskan pengaturan yang dicadangkan ini, dan pengumuman lanjut akan dibuat selepas proses yang diperlukan selesai,” katanya.

Sementara itu, perkhidmatan bahasa Turki Euronews turut mempersoalkan sama ada perjanjian berkenaan sudah dimuktamadkan.

Antara perkara yang dibangkitkan termasuk pihak yang akan menanggung kos program, lokasi latihan serta sama ada peserta dibenarkan menetap secara tetap di Turkiye.

Pengumuman dibuat sehari selepas keputusan ICJ

Isu penempatan semula Rohingya itu turut mendapat perhatian kerana pengumuman Zahid dibuat sehari selepas Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Myanmar bertanggungjawab atas tindakan genosid terhadap etnik Rohingya di utara negeri Rakhine ketika operasi ketenteraan pada 2017.

Bagaimanapun, Myanmar menyifatkan keputusan berkenaan sebagai tidak adil dan tidak sebulat suara.

Jurucakap presiden, Khaing Khaing Soe pula menegaskan operasi ketenteraan ketika itu menyasarkan pemberontak dan bukannya orang awam, selain memaklumkan kerajaan yang disokong tentera akan meneliti penghakiman berkenaan.

Dalam keputusannya, ICJ mengarahkan Myanmar memberikan pampasan kepada mangsa serta mengambil langkah bagi mencegah pelanggaran lanjut.

Kes berkenaan difailkan oleh Gambia pada 11 November 2019 dengan sokongan 57 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), termasuk Malaysia, menurut Mekanisme Penyiasatan Bebas untuk Myanmar (IIMM) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Laporan Malaysiakini turut menyebut kira-kira 10,000 Rohingya terbunuh dalam operasi ketenteraan pada 2017, selain keganasan seksual dan keganasan melampau terhadap kanak-kanak.

Perkembangan terbaharu ini sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai status sebenar rancangan penempatan semula 10,000 pelarian Rohingya yang diumumkan Malaysia sebelum ini.

Sumber: Malaysiakini

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!