Pelarian Rohingya Mahu Pulang Ke Myanmar

Ratusan pelarian Rohingya di kem sementara Cox’s Bazar, Bangladesh, menyambut keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang mendapati Myanmar bertanggungjawab melakukan genosid terhadap etnik minoriti itu ketika operasi ketenteraan pada 2017.

Bagi mereka yang sudah bertahun-tahun hidup sebagai pelarian, keputusan berkenaan dianggap satu pengiktirafan terhadap penderitaan yang dialami selain menghidupkan semula harapan untuk kembali ke tanah air.

Penghakiman yang dikeluarkan pada 19 November lalu itu dibuat selepas ICJ mendapati Myanmar melakukan genosid terhadap masyarakat Rohingya di utara negeri Rakhine, sekali gus melanggar kewajipannya di bawah Konvensyen Genosid.

ICJ arah Myanmar benarkan Rohingya pulang

Mahkamah yang berpusat di The Hague, Belanda itu turut mengarahkan Myanmar mengambil langkah bagi membolehkan pelarian Rohingya pulang ke tempat asal masing-masing secara selamat, sukarela dan bermaruah.

Myanmar juga diwajibkan menyediakan pampasan terhadap kerosakan yang dialami masyarakat Rohingya, selain menyiasat serta mendakwa individu yang disyaki terbabit dalam jenayah genosid.

Bagaimanapun, pelaksanaan penghakiman itu masih menjadi persoalan besar memandangkan ICJ tidak mempunyai mekanisme penguatkuasaan secara langsung.

Sebarang ketidakpatuhan terhadap keputusan mahkamah boleh dibawa kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Rohingya anggap keputusan sebagai pengiktirafan

Beberapa pelarian Rohingya menyambut baik keputusan berkenaan, namun pada masa sama berharap ia disusuli tindakan sebenar bagi membolehkan mereka pulang ke Myanmar.

“Myanmar selama ini menafikan kewujudan Rohingya, namun mahkamah PBB kini telah memperjelas kedudukan kami,” kata pemimpin komuniti, Sayed Ullah.

Masyarakat Rohingya turut menggesa tindakan lebih tegas terhadap pihak berkuasa Myanmar susulan kekejaman yang berlaku ketika operasi ketenteraan pada 2017.

Dalam operasi yang didakwa dilancarkan sebagai tindak balas terhadap serangan kumpulan pemberontak Rohingya, tentera Myanmar dituduh melakukan pembunuhan, rogol secara beramai-ramai dan membakar perkampungan penduduk.

Pada Jumaat, Myanmar menolak keputusan ICJ dengan menyifatkannya sebagai tidak adil.

Bagi pelarian yang masih menetap di kem sementara Bangladesh, penghakiman itu menjadi satu perkembangan penting dalam perjuangan mendapatkan keadilan serta peluang untuk kembali ke tanah air dengan selamat.

Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!