Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan ketika ini masih berfungsi dengan baik dan tidak memerlukan sebarang rombakan Kabinet atau pembubaran Parlimen.
Beliau turut membidas dakwaan sesetengah pihak kononnya berlaku ketidakstabilan dalam pentadbiran negara, sambil menyifatkan isu yang diperbesarkan itu sebagai sebahagian daripada agenda kempen politik.
Menurutnya, semua pihak sepatutnya memberi tumpuan kepada tanggungjawab masing-masing dan terus berusaha membangunkan negara demi kepentingan rakyat.
"Jadi apa yang sedang diperbesar-besarkan itu sebenarnya hanyalah agenda kempen semata-mata. Namun, buat masa ini kita perlu kekal dengan haluan yang ditetapkan dan terus melaksanakan tugas.
"Apa yang penting ialah kita memberikan yang terbaik untuk negara ini.
"Saya masih percaya negara ini sebuah negara yang hebat dan mempunyai potensi yang sangat besar. Kita mempunyai masa depan yang cerah, jadi marilah kita terus fokus ke arah itu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 di Manila, Filipina.
Anwar turut menjelaskan bahawa ruang perbincangan politik sentiasa terbuka, termasuk menerusi pertemuan rasmi dan tidak rasmi bersama pemimpin parti serta anggota pentadbiran bagi menyelesaikan perbezaan pandangan.
Sumber: Berita Harian
