Tindakan seorang pemandu Perodua Myvi melarikan diri selepas menyerahkan kad pengenalan kepada polis ketika sekatan jalan raya (SJR) di Jeli, akhirnya memakan diri apabila dia berjaya ditahan tidak lama kemudian.
Lebih mengejutkan, lelaki terbabit turut didapati positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC) selepas menjalani ujian saringan awal air kencing.
Kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 pagi Ahad di Jalan Raya Timur Barat, Batu Melintang.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintenden Kamarulzaman Harun berkata, suspek yang memandu dari arah Gerik, Perak menuju ke Jeli pada awalnya diarahkan berhenti untuk pemeriksaan.
"Bagaimanapun, pemandu kenderaan itu bertindak memecut laju dan melarikan diri selepas menyerahkan kad pengenalan kepada anggota polis.
"Maklumat kejadian kemudian disalurkan kepada Bilik Gerakan IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Jeli sebelum anggota kereta peronda berjaya mengesan dan menahan kenderaan berkenaan di Kampung Bukit Lakota," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 26(2) Akta Polis 1967 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Permohonan reman juga dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan.
Sehubungan itu, Kamarulzaman menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi arahan polis dan memberikan kerjasama ketika pemeriksaan di sekatan jalan raya.
Sumber: Sinar Harian
