Pelawak, Amir Raja Lawak masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu selepas dimasukkan ke hospital pada 6 November lalu akibat jangkitan paru-paru.
Amir atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi, 37, dilaporkan masih bergantung kepada alat bantuan pernafasan, namun keadaannya kini stabil, lapor Sinar Harian.
Malah, selera makan pelawak itu juga semakin bertambah.
Pembantu peribadinya, Muhammad Faris Che Ali berkata, beliau bersama beberapa rakan termasuk pelakon, Sharifah Sakinah berkesempatan melawat Amir di hospital pada Sabtu.
"Alhamdulillah dia (Amir) berada dalam keadaan baik serta boleh menerima kunjungan pelawat, namun dihadkan dua orang sahaja dalam satu masa," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Sebelum ini, Amir dilaporkan mempunyai sejarah penyakit asma sejak kecil. Keadaan cuaca sejuk dipercayai memburukkan lagi kesihatannya, selain demam yang dialami selama beberapa hari.
Dia kemudian dimasukkan ke hospital akibat jangkitan paru-paru.
Dalam perkembangan lain, Muhammad Faris turut berharap orang ramai terus memberikan sokongan kepada perniagaan ayam goreng dan air jagung yang diusahakan Amir di Medan Usahawan, pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
Katanya, sokongan terhadap perniagaan itu penting bagi membantu Amir membayar gaji pekerja dan memastikan kebajikan mereka terus terjaga.
"Kami juga memohon kepada semua agar mendoakan Amir supaya cepat sembuh," katanya.
Sumber: Sinar Harian
