Amir Raja Lawak Bergantung Alat Bantuan Pernafasan, Belum Ditidurkan

Pelawak terkenal, Amir Raja Lawak dilaporkan masih belum ditidurkan seperti yang tular di media sosial, sebaliknya keadaannya kini stabil namun masih memerlukan alat bantuan pernafasan.

Pembantu peribadinya, Muhammad Faris Che Ali berkata, Mohammad Amirullah Azmi, 37, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) kira-kira jam 11.30 malam tadi.

Menurutnya, Amir mempunyai sejarah penyakit asma sejak kecil dan keadaan cuaca sejuk dipercayai memburukkan lagi kesihatannya, ditambah pula dengan demam yang dialami sejak beberapa hari lalu.

"Amir mempunyai penyakit asma sejak kecil dan keadaan cuaca sejuk memburukkan lagi keadaan kesihatannya, kebetulan pula dia sudah beberapa hari demam.

"Malah keadaannya semakin teruk sehinggakan perlu dimasukkan ke hospital pada Khamis lalu namun terpaksa menangguhkannya kerana mempunyai komitmen kerja sebagai pengacara majlis di Terengganu," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Faris berkata, selepas menyelesaikan komitmen kerja berkenaan, Amir akhirnya mendapatkan rawatan di hospital pada Jumaat lalu.

Terdahulu, berita mengenai keadaan kesihatan pelawak itu mula mendapat perhatian selepas pelakon, Lando Zawawi berkongsi mengenai kemasukan Amir ke hospital akibat jangkitan paru-paru menerusi Facebook pada Selasa.

Bagaimanapun, Faris menjelaskan keadaan Amir setakat Rabu adalah stabil dan pelawak itu sendiri tidak mahu masalah kesihatannya dihebohkan.

Susulan berita berkenaan yang semakin tersebar di media sosial, Faris berharap orang ramai tidak mengambil kesempatan dengan menyebarkan maklumat tidak benar mengenai keadaan Amir.

Beliau turut meminta peminat dan orang ramai supaya mendoakan agar pelawak berkenaan segera sembuh.

Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!