Empat tahun berehat daripada dunia nyanyian bukanlah tempoh yang singkat. Namun bagi Rahim Maarof, minat terhadap muzik tidak pernah hilang.
Penyanyi yang cukup dikenali menerusi lagu Cinta Kristal itu akhirnya kembali membuat persembahan, dan Kota Bharu menjadi lokasi pertama kemunculannya selepas berehat panjang.
Menurut isterinya, Aynn Sara, sebelum ini banyak jemputan persembahan diterima, namun Rahim belum benar-benar bersedia untuk kembali ke pentas.
"Sebelum ini, ada beberapa undangan persembahan diterima termasuk yang menjemput melalui e-mel. Tetapi, ketika itu suami belum bersedia untuk pergi.
"Persembahan di Kelantan tempoh hari adalah kali pertama suami muncul selepas sekian lama. Memang ada kerisauan terhadap keadaan dia dan bagaimana hendak menyanyi.
"Tapi, sebelum buat persembahan, suami jalani latihan bersama pemuzik," katanya.
Aynn turut menjelaskan mengenai keadaan kesihatan suaminya yang sebelum ini sering dikaitkan dengan serangan strok.
Menurutnya, doktor memaklumkan Rahim sebenarnya mengalami lebihan cecair di bahagian belakang kepala sehingga memerlukan pembedahan.
"Ramai yang kata dia diserang strok. Tetapi, sebenarnya, saya sendiri keliru kerana doktor memberi penjelasan berbeza.
"Doktor pertama yang merawatnya memaklumkan suami bukan diserang strok. Doktor beritahu ada lebihan cecair pada belakang kepala dan dia perlu dibedah," katanya.
Kini, keadaan kesihatan Rahim dilaporkan semakin baik dan beliau hanya memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya.
Kemunculan semula di Kota Bharu itu sekali gus menggembirakan peminat yang sudah lama menantikan penyanyi tersebut kembali beraksi di atas pentas.
Sumber: Berita Harian
