Seorang lelaki berusia 32 tahun ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas memiliki dua ekor burung murai batu dianggarkan bernilai RM50,000 tanpa dokumen kebenaran di Kampung Banggol Pak Esah, Selising, Pasir Puteh, semalam.
Penahanan itu dilakukan menerusi Ops Taring Wawasan Kelantan oleh sepasukan anggota Cawangan Risik Batalion 7 PGA Kuantan, Pahang, kira-kira jam 5.45 petang.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, pemeriksaan di lokasi membawa kepada penemuan dua ekor burung berkenaan di dalam sebuah bangsal di tepi rumah suspek.
Menurutnya, lelaki terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan pemilikan burung berkenaan yang dipercayai sudah dimilikinya sejak 2019.
"Burung itu dipercayai dimiliki sejak 2019 selepas dibeli daripada seorang rakan dari Gua Musang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain dua ekor burung murai batu berkenaan, PGA turut merampas dua buah sangkar yang dianggarkan bernilai RM800.
Ahmad Radzi berkata, kesemua rampasan bersama suspek kemudian diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan untuk siasatan serta tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Beliau berkata, operasi berkenaan dilaksanakan menerusi kerjasama PGA dan Perhilitan Kelantan bagi membanteras kegiatan pemilikan hidupan liar tanpa kebenaran.
Sumber: Bernama
