Guru Didakwa Lakukan Amang Seksual Terhadap Murid 11 Tahun Di Dabong

Seorang guru yang juga warden asrama sebuah sekolah rendah di Dabong, Kuala Krai, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid lelaki berusia 11 tahun.

Tertuduh, Mohd Faiz Rohizat, 34, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di dalam bilik warden asrama sekolah berkenaan kira-kira jam 1 tengah hari pada April 2025.

Bagi pertuduhan kedua pula, perbuatan sama didakwa berlaku di lokasi berkenaan kira-kira jam 4 petang pada September 2025.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(b) dan Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan Tidak Tawarkan Jaminan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimin, manakala tertuduh diwakili peguam, Siti Fathma Nuraimi Mohamad.

Terdahulu, pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan dengan alasan kesalahan yang dihadapi tertuduh dianggap sangat serius.

Bagaimanapun, peguam tertuduh memohon mahkamah membenarkan ikat jamin dengan mengambil kira status anak guamnya sebagai penjawat awam serta tanggungjawab menyara isteri dan anak berusia tiga tahun.

"Tertuduh akan hilang pekerjaan dan punca pendapatan sekiranya jaminan tidak dibenarkan sedangkan anak guam saya perlu menyara anak dan isteri serta ibu bapa yang uzur.

"Sebagai penjawat awam, tertuduh tiada risiko untuk melarikan diri memandangkan Mohd Faiz tinggal di alamat tetap di Bachok," katanya.

Jaminan RM10,000, Perlu Lapor Diri Di Balai Polis

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Antara syarat tambahan yang ditetapkan ialah tertuduh perlu mengemukakan alamat tempat tinggal tetap serta tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Tertuduh juga diarahkan melapor diri di balai polis berdekatan setiap dua bulan sekali, selain menyerahkan pasport kepada mahkamah untuk simpanan.

Mahkamah menetapkan 23 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sumber: Berita Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!