Malaysia Putuskan Tidak Ekstradisi Dr Zakir Naik Ke India

Kerajaan Malaysia memutuskan untuk tidak mengekstradisi pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik, ke India dan tidak memberikan sebarang komitmen untuk menyerahkan beliau kepada negara berkenaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan hak Malaysia di bawah Artikel 6 Triti Ekstradisi yang ditandatangani bersama Kerajaan India pada 2010 serta peruntukan Akta Ekstradisi 1992.

Menurutnya, kerajaan setakat ini juga belum menerima sebarang permohonan ekstradisi baharu daripada India berhubung pendakwah terbabit.

Permohonan rasmi daripada Kerajaan India sebelum ini diterima pada 19 Januari 2018, manakala nota diplomatik yang meminta pertimbangan semula diterima pada 29 Mei 2020.

"Kerajaan Malaysia memutuskan untuk tidak mengekstradisi Dr Zakir Naik ke India.

"Oleh itu, tiada sebarang komitmen diberikan untuk mengekstradisi beliau," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.

Saifuddin menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang meminta penjelasan mengenai status terkini permohonan ekstradisi Dr Zakir oleh Kerajaan India, termasuk tarikh permohonan rasmi terbaharu diterima.

Ahmad Marzuk turut meminta kerajaan menjelaskan sama ada dokumen dan keterangan yang dikemukakan India memenuhi kehendak Akta Ekstradisi 1992 serta perjanjian antara kedua-dua negara.

Beliau juga bertanyakan sama ada kerajaan pernah memberikan sebarang komitmen untuk mengekstradisi pendakwah berkenaan.

Isu Ekstradisi Pernah Dibangkitkan

Pada September lalu, media melaporkan kerajaan digesa memperjelaskan status perundangan dan diplomatik berhubung permohonan ekstradisi Dr Zakir yang pernah dibincangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama rakan sejawatnya dari India, Narendra Modi.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, Anwar perlu memperincikan isu yang dibincangkan serta persefahaman yang dicapai dalam pertemuan kedua-dua pemimpin itu.

Takiyuddin turut meminta penjelasan sama ada dokumen dan keterangan bagi menyokong permohonan New Delhi kepada Kuala Lumpur sudah memenuhi syarat undang-undang Malaysia untuk tujuan ekstradisi.

Sebelum ini, laporan media menyebut isu ekstradisi Dr Zakir yang dikehendaki di India berikutan dakwaan pengubahan wang haram dan ucapan berunsur kebencian antara perkara yang dibincangkan dalam rundingan Anwar bersama wakil negara itu.

Laman berita India, New Delhi Television (NDTV), pula melaporkan Anwar mengesahkan perbincangan mengenai perkara berkenaan berlangsung secara tertutup dan dipercayai diadakan di New Delhi.

Sumber: Berita Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!